Pesawah derita, 'main harga' padi

Pesawah derita, ‘main harga’ padi

HARGA lantai pembelian padi dicadang dinaikkan bagi mengelakkan mana-mana pihak daripada ‘membuat harga sendiri’ dalam urusan jual beli makanan ruji rakyat Malaysia.UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga lantai pembelian padi dicadang dinaikkan bagi mengelakkan mana-mana pihak daripada ‘membuat harga sendiri’ dalam urusan jual beli makanan ruji rakyat Malaysia.

Pada masa sama, penetapan harga lantai itu juga dilihat kaedah terbaik bagi menjamin nasib golongan petani yang sebahagian besar daripadanya adalah golongan miskin tegar.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain mencadangkan supaya harga lantai ditetapkan pada kadar RM1,800 per tan metrik.

Katanya, jumlah itu merangkumi kenaikan kos ditanggung pesawah membabitkan benih, baja, jentera dan perbelanjaan lain.

“Kita ambil contoh kos sewaan mesin tuai, sebelum ini harganya adalah RM120 bagi setiap relung, tetapi atas alasan kenaikan harga diesel tahun lalu, ia dinaikkan kepada RM180 bagi setiap relung.

“Kami berpandangan perlu ada penetapan harga lantai yang munasabah supaya harga padi tidak sewenang-wenangnya diturunkan oleh mana-mana pihak sehinggakan pesawah terpaksa menanggung deritanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, cadangan harga lantai pada kadar RM1,800 per tan metrik adalah munasabah kerana pada tahun lalu pengilang membeli padi daripada pesawah dengan kadar tertinggi iaitu RM1,850 per tan metrik.

“Sekarang ini, kebanyakan pesawah bukannya mahu menanam padi tetapi terpaksa kerana isunya adalah harga padi rendah dengan pendapatan bersih selepas kos sekitar RM400 hingga RM500 bagi setiap relung.

“Ini yang membuatkan kebanyakan golongan muda sudah tidak berminat lagi untuk menyambung usaha orang tua masing-masing kerana pendapatannya sangat rendah,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah keras tindakan menurunkan harga belian padi kepada RM1,300 satu tan metrik seperti yang diputuskan dalam mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) baru-baru ini.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, penetapan harga itu tidak adil dan langsung tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat, malah harga padi minimum RM1,300 yang ditetapkan pada tahun 2023 sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya