KOTA BHARU: Seorang pesara tentera didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memukul serta mendera dua anak tirinya di sebuah rumah di Pengkalan Chepa, dekat sini Jumaat lalu.
Tertuduh, Nurul Haida Mohd. Lazin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun enam bulan didakwa menganiaya mangsa dengan memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian mulut dan telinga.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa kira-kira pukul 4 petang pada 3 Januari lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Haki Mohamad. Terdahulu, Ahmad Faiz mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kerana mangsa dalam kes tersebut merupakan seorang kanak-kanak.
Sukri Haki dalam rayuannya memohon ikat jamin minimum memandangkan anak guamnya yang sebelum ini bekerja sebagai tentera bersara secara pilihan pada tahun lalu.
“Tertuduh menjaga enam anak iaitu tiga anak kandungnya dan tiga anak tiri. Anak guam saya juga sudah empat tahun menjaga anak tiri dan kejadian seperti yang didakwa itu sebelum ini tidak pernah berlaku,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan. Mahkamah menetapkan 12 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Nurul Haida turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan yang juga merupakan anak tirinya di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa berumur sembilan tahun pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Mahkamah membenarkan jaminan RM 3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu atau berjumpa dengan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM13,000 seperti yang ditetapkan oleh kedua-dua mahkamah. – UTUSAN