Pesara tentera didakwa dengan 89 tuduhan menipu

Pesara tentera didakwa dengan 89 tuduhan menipu

HAIZAD Ismail (kiri) didakwa atas 89 pertuduhan menipu kerja-kerja perolehan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pesara Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas semua 89 pertuduhan menipu membabitkan pelbagai kerja perolehan di Kem Diraja (KD) Sultan Ismail yang dianggarkan lebih RM1 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Haizad Ismail, 43, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan oleh dua jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kira-kira dua jam 30 minit.

Berdasarkan 89 kertas pertuduhan, Haizad didakwa menipu Kapten TLDM Shaiful Fadzli Ismail, 50, sebagai Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa pelbagai kerja perolehan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera, KD Sultan Ismail telah selesai dilaksanakan.

Perbuatan itu didakwa mendorong Shaiful Fadzli untuk memperakukan pembayaran antara RM1,000 hingga RM40,000 yang keseluruhannya berjumlah RM1.07 juta kepada 10 syarikat.

Semua kesalahan didakwa dilakukan ketika tertuduh bertugas sebagai Ketua Bahagian Logistik dan Material di KD Sultan Ismail Tanjung Pengelih di Kota Tinggi, pada 23 Oktober dan 29 November 2023.

Bagi semua pertuduhan itu, Haizad didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jumlah jaminan RM180,000 bagi semua pertuduhan, namun peguam bela tertuduh, Nur’ain Shahiera Khalid memohon jumlah jaminan lebih rendah.

“Isteri tertuduh merupakan seorang suri rumah dan tertuduh juga mempunyai tanggungan lima orang anak berusia tujuh hingga 17 tahun yang semuanya masih bersekolah.

“Tertuduh baharu sahaja bersara pada minggu lalu selepas berkhidmat lebih 24 tahun dan kini sumber pendapatan tertuduh adalah pencen bulanan sebanyak RM4,000. Tertuduh juga perlu menanggung ibu dan bapa tirinya yang menghidap asma,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM39,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya