KULIM: Panggilan telefon sehari sebelum kemalangan yang berulang kali meminta supaya menjaga adiknya dengan baik membuatkan seorang pemuda tidak sedap hati dengan keadaan ibu bapanya yang berada di Thailand.
Telahan itu ternyata membawa khabar buruk apabila pasangan suami isteri, Mohd. Sofi Ismail dan Zaimima Ismail, masing-masing 43 tahun maut kemalangan di Chumphon.
Anak mereka, Mohd. Danial Ikmal, 21, berkata, dia semakin resah apabila ibunya turut memaklumkan yang mereka mungkin berada lama di Thailand sedangkan apa yang diketahui ibu bapanya hanya seminggu ke negara jiran itu.
“Sejak ibu dan bapa pergi berkonvoi bersama kawan mereka, Ahad minggu lalu kami setiap hari berhubung melalui panggilan telefon atau video tapi ibu hanya menceritakan keindahan alam dan keseronokan dibawa bapa ke Thailand.
“Tapi pada hari terakhir mereka dijangka pulang, ibu tidak henti-henti berpesan supaya saya tidak mengabaikan adik, Mohd. Danial Irfan yang berusia 13 tahun. Saya rasa pelik apabila ibu bercakap demikian seolah-olah akan meninggalkan kami dua beradik untuk selamanya,” katanya semasa ditemui.
Katanya, dia mengetahui nahas menimpa ibu bapanya selepas menerima panggilan bapa saudara yang memaklumkan perkara itu pagi semalam.
Mohd. Danial Irfan yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas pula berkata, dia masih teringat saat bapanya bersungguh ingin memeluknya sebelum memulakan perjalanan ke Thailand.
“Sebelum ini bapa tidak pernah berbuat demikian setiap kali dia keluar menunggang motosikal bersama ibu. Saya terkilan kerana pelukan itu adalah terakhir sebelum dia dan ibu maut dalam kemalangan,” katanya.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi Kawasaki GTR1400 dinaiki mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul ‘Ulum Merbau Pulas, di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi.
Jenazah Mohd. Sofi dan Zaimima dibawa keluar dari Danok, Thailand pada pukul 1.10 pagi dan dibawa pulang ke rumah keluarga Zaimima di Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas untuk dimandi dan dikafankan. – UTUSAN