KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia memperuntukkan RM20 juta untuk menyediakan latihan kemahiran kepada 5,000 rakyat Malaysia dalam tiga sektor utama iaitu keselamatan siber, sains data dan kecerdasan buatan (AI) pada tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukkan itu disalurkan melalui Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan menyediakan latihan kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran pekerja di negara ini.
Jelasnya, semua bakal pelatih akan menjalani latihan antara tiga ke enam bulan di satu daripada syarikat teknologi gergasi India, HCL Technologies.
“Bagi Perkeso, mereka akan melatih pekerja terutamanya yang dilindungi di bawah Skim Insurans Pekerjaan manakala HRD Corp akan melatih pekerja secara umum di luar skim Perkeso. Sasaran kami adalah melatih sehingga 5,000 pekerja Malaysia dalam sektor utama itu, mengikut modul yang disediakan oleh HCL Technologies tahun ini.
“Satu sebab mengapa Perkeso terlibat adalah kerana mereka mengendalikan Skim Insurans Pekerjaan. Jadi, dalam ekosistem latihan ini, MyFutureJobs juga akan membantu mereka untuk memadankan peluang pekerjaan yang sesuai,” katanya semasa sidang media, di sini.
Terdahulu, Steven Sim hadir ke Menara Perkeso, di sini bagi menyaksikan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara HRD Corp, Perkeso dan HCL Technologies.
Mengulas mengenai pemeteraian MoU itu, Steven Sim berkata, ia merupakan kesinambungan perbincangan yang sangat penting antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak HCL Technologies pada misi diplomatik beliau ke India pada Ogos lalu.
“Jadi dalam tempoh enam bulan, kita dapat menyaksikan acara penting iaitu pemeteraian MoU secara rasmi hari ini, yang menandakan kerjasama antara tiga organisasi terlibat.
“Mudah-mudahan jumlah peserta boleh ditingkatkan pada tahun hadapan. Jika kita boleh memperoleh sehingga10,000 peserta, sudah pasti saya lebih gembira untuk membantu. Semasa perbincangan di India, ia bukan hanya melibatkan HCL Technologies dan Kesuma, tetapi turut melibatkan beberapa kementerian lain,” katanya.
Katannya, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen Malaysia untuk merapatkan jurang kemahiran digital selain mengukuhkan cita-cita negara menjadi peneraju serantau dalam pembangunan tenaga kerja. – UTUSAN