PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan mengumumkan peruntukan RM100 juta melalui Tekun Nasional bagi memperkasakan dan memperkukuh lagi agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India.
Ramanan berkata, peruntukan itu adalah yang terbesar bagi komuniti India sejak 2008 dan ia dijangka membawa manfaat langsung kepada lebih 4,500 usahawan India selain membuka peluang untuk mereka terus berkembang maju dalam dunia perniagaan.
“Dana RM100 juta ini akan disalurkan melalui Skim Pembiayaan SPUMI Goes Big sebanyak RM50 juta dan dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 1,000 orang usahawan.
“Bagi produk Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dengan nilai RM50 juta pula dijangka memberi manfaat kepada seramai 3,500 orang usahawan.
“Kedua-dua skim ini diilhamkan untuk memberikan sokongan menyeluruh, dari modal hingga bimbingan, agar usahawan India dapat meraih kejayaan yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, inisiatif ini adalah lambang keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada individu atau kumpulan yang terpinggir dalam kemajuan ekonomi negara.
“Saya yakin dengan dana ini, masyarakat India bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara signifikan,” jelasnya.