Perubahan untuk rakyat pada tahun 2025

Perubahan untuk rakyat pada tahun 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula hari ini rakyat menyaksikan pelaksana­an beberapa inisiatif dan bantuan baharu daripada Kerajaan Perpaduan yang memberi kesan secara langsung serta tidak langsung kepada kehidupan.

Antara bantuan menanti rak­yat adalah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM600 yang diperluaskan ke pelajar tingkatan enam serta peningkatan gaji minimum sebanyak RM1,700 bermula 1 Februari.

Daripada segi undang-undang pula, akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah akan digubal, selain premis dobi dan bangunan tempat kerja dimasukkan dalam senarai kawasan larangan merokok berkuat kuasa hari ini.

Rakyat juga pada tahun ini akan menikmati pembaharuan daripada segi prasarana terutama Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) seawal Ogos.

Pada masa sama, rakyat menerima cukai duti eksais baharu iaitu untuk minuman bergula sebanyak 40 sen seliter dan kenaikan tarif elektrik asas bagi penduduk di Semenanjung Malaysia sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen/kWj bagi tempoh 2025 hingga 2027 bermula 1 Julai.

Pertengahan tahun ini, rakyat dijangka menghadapi penyasaran subsidi petrol RON95 bagi memastikan negara memperoleh penjimatan RM8 bilion dan mengelakkan golongan T15 dan warga asing daripada terus menikmati subsidi tersebut.

Pakar Ekonomi dan Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, antara langkah utama dilakukan kerajaan bagi menghadapi tahun 2025 adalah me­laksanakan pemberian BTR, peningkatan gaji minimum, dan pemberian internet percuma di kawasan awam.

Kata beliau, langkah yang dilakukan Kerajaan Madani bakal memberikan manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah dan berupaya untuk membantu memperkukuhkan ­kestabilan ekonomi di peringkat akar umbi.

“Langkah-langkah ini bukan sahaja meringankan kos sara hidup, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keprihatinan kerajaan,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, usaha ­seperti menambah elaun untuk petani dan nelayan serta menambah baik bantuan musim persekolahan amat signifikan dalam mengurangkan jurang ekonomi.

“Kerajaan turut memper­kukuhkan isu keterjaminan makanan negara dengan me­ngurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import.

“Pendekatan ini membantu menstabilkan harga makanan asas dan memberi kesan positif kepada golongan B40 dan M40 dan ia dilihat mampu memastikan ekonomi domestik yang lebih mampan,” jelasnya.

Sementara itu, Provost di Malaysia University of Scien­ce & Technology (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu pelan induk ekonomi yang berasaskan ke­sejahteraan rakyat.

“Misalnya, hari ini ekonomi kita mengalami pertumbuhan yang baik tetapi rakyat atau isi rumah masih merasakan tiada perubahan dalam ekonomi negara kita, hidup mereka masih susah, tertekan dan sebagai­nya.

“Ini terjadi kerana seba­nyak 85 peratus daripada isi rumah sebenarnya bekerja dengan maji­kan di dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), peniaga di sektor tersebut tidak merasai nikmati pertumbuhan ekonomi seperti perniagaan besar,” katanya.
PMKS perlu terus dibangunkan pada tahun ini bagi membolehkan ia mampu membayar gaji kepada rakyat Malaysia pada paras lebih tinggi.

“Apabila gaji pekerja me­ning­kat, ia akan turut sama meningkatkan kesejahteraan isi rumah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya