Pertukaran Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah rombakan pentadbiran

Pertukaran Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah rombakan pentadbiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan pertukaran bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan pemecatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bukannya melindungi daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Sebaliknya Najib berkata, perkara itu adalah sebahagian daripada rombakan pentadbiran.

Katanya, beliau tidak terlibat dengan penukaran dan pemecatan tersebut yang dikatakan dilakukan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan.

“Dakwaan bahawa saya telah mengambil langkah untuk menyebabkan Ketua Pesuruhjaya SPRM ditukar dan mempengaruhi penutupan kes 1MDB adalah satu perkara yang tidak berasas dan salah anggapan. 

“Penukaran Tan Sri Abu Kassim adalah keputusan pentadbiran (dan) tiada sebarang bukti yang mencadangkan saya telah memainkan sebarang peranan dalam penukarannya. Bagi Tan Sri Gani pula, saya berhasrat untuk mencadangkan pelantikannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan namun cadangan ini tidak dapat dilaksanakan.

“Dakwaan ini jelas sekali dirancang bagi mewujudkan satu naratif campur tangan yang sebenarnya tidak wujud. Ia mengetepikan realiti berhubung rombakan pentadbiran dan siasatan berterusan oleh pelbagai agensi bagi kes (penyelewengan) 1MDB. Dakwaan ini juga tidak disokong oleh mana-mana bukti,” kata Najib.

Tambahnya, sehingga kini, Abu Kassim dan Abdul Gani tidak pernah memfailkan sebarang tuntutan undang-undang atas dakwaan pemecatan secara salah.

Terdahulu, Najib juga menafikan bahawa beliau terlibat dengan pembubaran pasukan petugas khas menyiasat penyelewengan dana 1MDB pada 27 Julai 2015.

Ujarnya, keterangan oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sendiri menyatakan bahawa bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri telah menyatakan bahawa pasukan petugas khas itu tidak lagi diperlukan dan setiap agensi perlu menyambung siasatan secara bebas.

Pada prosiding sebelum ini, Zeti dalam keterangannya menyatakan pada 27 Julai 2015, Pasukan Petugas itu dibubarkan apabila perkhidmatan Abdul Gani ditamatkan.

Saksi pendakwaan ke-46 itu juga berkata, tiada mesyuarat Pasukan Petugas diadakan oleh Mohamed Apandi selepas beliau mengambil alih sebagai Peguam Negara baharu.

Menurutnya, Abu Kassim pada 5 Ogos 2015, mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dinasihatkan oleh Peguam Negara baharu (Mohamed Apandi) bahawa Pasukan Petugas 1MDB tidak diperlukan dan setiap agensi penyiasat boleh menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang masing-masing.

Najib kini sedang memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB pada perbicaraan yang dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya