ALOR SETAR: Pertemuan terakhir pada petang semalam menjadi yang terakhir buat seorang warga emas, Mohd. Zaini Hashim, 63, dengan anaknya Muhammad Muslim, 23, yang meninggal dunia selepas rentung dalam kejadian kebakaran rumah di Tongkang Yard, di sini pagi tadi.
Kejadian berkenaan turut mengorbankan bapa angkat mangsa iaitu, Ibrahim Mydin,61.
Mohd. Zaini berkata, walaupun masih belum disahkan bahawa mayat itu merupakan anaknya tetapi dia hampir pasti berdasarkan kedudukan jasad yang ditemukan di tingkat bawah rumah itu.
“Ibrahim pernah bawa saya masuk ke dalam rumahnya tahun lalu dan tunjukkan di mana bilik tidur dia, bilik tidur anak saya, ruang tamu dan bilik air sebab itu saya hampir pasti bahawa jasad itu anak saya.
“Bilik dia di tingkat atas, tetapi disebabkan oleh kebakaran itu, lantai kayu rumah tersebut turut roboh dan jasad anak jatuh ke tingkat bawah yang betul-betul di bawah biliknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Katanya, mereka bertemu semalam ketika Muhammad Muslim pulang ke Kuala Kedah untuk membantu persiapan majlis pertunangan sepupunya pada 31 Januari ini.
“Dia balik cuci kawasan rumah kami untuk buat kenduri anak saudara saya. Kami tidak ada bersembang apa cuma saya ada tanya tujuannya pulang.
“Dia juga sempat tanya saya mahu ke mana ketika itu dan saya jawab mahu ke kedai dan pesan kepadanya untuk buat kerja baik-baik. Tetapi masa itu dia tidak melihat muka saya dan ketika pulang pun tidak bersalam seperti kebiasaan,” katanya.
Tambahnya, dia juga beberapa kali cuba menghubungi telefon Muhammad Muslim sejak pagi tadi namun tidak berjawab yang menguatkan lagi andaian bahawa mayat ditemukan itu adalah anaknya.
Sementara itu, Mohd. Akram Ibrahim, 32, iaitu anak kepada Ibrahim berkata, dia berjumpa bapnya malam tadi di rumah terbabit untuk bertanya khabar sebelum dimaklumkan tentang kebakaran itu.
“Kami berbual lama juga lebih sejam dan tidak nampak apa-apa perubahan sepanjang bersama. Ayah tinggal di rumah pusaka ini bersama anak angkatnya tetapi ramai juga yang selalu datang ke sini mungkin kawan-kawannya atau rakan anak angkat dia.
“Saya terima panggilan daripada seorang wanita sekitar 7.30 pagi ini yang beritahu ada kebakaran dan mungkin ayah saya terlibat cuma mereka tak pasti kerana mayat sudah rentung. Apa-apa pun saya tunggu pengesahan pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, dua lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separa kekal manakala seorang lagi penghuni sempat menyelamatkan diri. – UTUSAN