Adat dalam kehidupan, apalagi jika berada dalam kelompok masyarakat Melayu, soalan lazim seperti ‘bila hendak kahwin?’ seringkali tidak dapat dielak khususnya buat golongan wanita yang masih solo atau single.
Sebenarnya, tiada apa yang salah dengan soalan itu. Tetapi tidak dinafikan, jika tersalah bual atau disoal dalam nada yang kurang enak, ia mampu menyebabkan individu yang menerima soalan itu berasa serba salah sama ada mahu menjawab atau tidak.
Maklum sahajalah, perasaan sakit hati dan tersinggung boleh jadi mampu membuatkan riak wajah seseorang itu sukar untuk disembunyikan.
Pengalaman seperti ini pernah dialami oleh penyanyi, Amira Othman sehingga ia menjadi punca mengapa akhirnya dia berani menghasilkan lagu berjudul Bila Nak Kahwin yang menjadi tular baru-baru ini.
Menurut Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, lirik lagu tersebut terhasil sebagai ilham gara-gara dirinya sering diajukan pertanyaan yang sama oleh pelbagai pihak disebabkan masih belum berumah tangga.
Malah, keadaan itu juga menjadi menjadi bualan golongan ‘mak cik bawang’ lantaran dia juga tidak pernah mencanang mengenai siapakah teman lelaki atau kekasih hatinya selama ini.
“Terus-terang, saya memang tak kisah pun soalan ini diberikan kepada saya. Cuma kebelakangan ini, banyak soalan-soalan susulan contohnya tidak risaukah kahwin lambat dan sebagainya.
“Jadi saya pun tulislah lagu ini. Harap-harapnya ia dekatlah dengan orang yang senasib macam saya, termasuk memberikan kefahaman kepada setiap yang mendengar mengenai isu kahwin atau tidak ini,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kongsi Amira lagi, tindakannya menghasilkan lagu ini juga bukan kerana mahu menyindir mana-mana pihak yang gemar bertanya akan hal peribadi kepadanya.
Namun kata Amira, sebolehnya dia telah menyusun butir kata dalam lirik dengan berhemah supaya mesej yang disampaikan dapat diterima dengan baik oleh semua pihak.
“Apa yang saya cuba sampaikan, saya ini tidak tahu bagaimana takdir hidup ini. Jodoh, ajal maut, rezeki semua di tangan Tuhan. Jadi janganlah tanya saya soalan begitu lagi.
“Cuba bayangkan orang lain yang kita tak tahu apa ujian dia. Saya pun bukan orang yang bercerita mengenai kisah percintaan saya dengan orang, mungkin semasa orang bertanya soalan itu saya sedang sakit dan cuba sembuh dari fasa putus cinta, jadi saya pilih untuk tidak bercerita.
“Kadang-kadang soalan begitu, ia meresap juga di hati kita. Tapi saya tak ada maksud apa-apalah. Memang lagu ini pesanan bersama-sama,”katanya.
Masih solo
Sengaja melayangkan pertanyaan mengenai status sebenar dirinya pada waktu ini memandangkan Amira bukan seorang yang mudah berkongsi hal peribadi kepada umum, penyanyi berusia 31 ini bagaimanapun tidak cepat melenting.
Kekal tenang menyusun kata, Amira yang juga pelakon drama Patah Sayap Bertongkat Paruh mengakui dirinya belum mempunyai teman istimewa apalagi calon suami.
“Buat masa ini belum ada lagi pengisian di dalam hati ini. Saya akui buat masa ini single dan saya sebenarnya okey sahaja dan menerima bila-bila pun saya ditakdirkan akan berkahwin.
“Saya yakin itulah yang terbaik,”katanya.
Mengaitkan kenyataannya tentang cinta yang sempat singgah meskipun sebentar sebelum ini selain menggambarkan bahawa hasratnya untuk ke jenjang pelamin tidak kesampaian, Amira mengakui enggan terlalu mencanang hal tersebut di mata umum.
Katanya, bagi yang mengenali diri, pasti tahu bahawa dia sememangnya seorang yang perahsia dan tidak gemar berkongsi sesuatu yang belum diyakini terjadi.
“Saya akui memang malas nak kongsikan lebih-lebih sebab setiap kali saya kongsi, akan ada macam-macam pendapat. Bukan saya tak mahu menerima pendapat orang, tetapi saya tak mahu peningkan kepala sendiri.
“Saya yang pilih untuk tidak mahu dedahkan perihal putus cinta itu sebelum ini. Saya yakin itu adalah ujian yang baik untuk diri. Lagipun ketika hal itu terjadi, saya pun rasa tak manis untuk dicanangkan apalagi saya ini orang perempuan.
“Bila dah tak jadi itu pun, tak ada apa hendak digaduhkan. Saya terima itu ketentuan takdir dan kita pun akan teruskan berdoa untuk Allah kurniakan jodoh yang baik-baik.
“Saya tak suka mengungkit apatah lagi mahu menimbulkan pergaduhan yang tidak wajar. Biarlah lagipun hal itu telah lama berlalu, saya reda, mungkin ada jodoh lain yang terbaik buat saya,”katanya.