Permohonan tukar ‘guru duka lara’ perlu ambil kira ekosistem pendidikan

Permohonan tukar ‘guru duka lara’ perlu ambil kira ekosistem pendidikan

Wanita PKR
FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan menafikan hanya menyelesaikan isu guru duka lara setelah kisah permohonannya tular dalam media sosial.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa melihat keperluan bagi setiap permohonan dengan memberi keutamaan terhadap profesionalisme perguruan.

Katanya, permohonan pertukaran guru dibuka sepanjang tahun namun penempatan pertukaran berlaku ketika musim cuti sekolah.

“Kita lihat keperluan profesionalisme guru dan kesannya kepada keseluruhan pendidikan. Pertukaran tertinggi setakat ini adalah pasangan jarak jauh dan memang kita bagi keutamaan kepada isu ini. Namun, setiap permohonan mesti mengikut prosesnya seperti biasa,” katanya  selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali di sini, hari ini.

Isu duka lara sering dibangkitkan golongan guru yang mendakwa menunggu terlalu lama untuk pertukaran tempat mengajar.

Ada segelintir guru yang terpaksa meluahkan kekecewaan mereka dalam media sosial dan mendakwa hanya dengan cara itu permohonan mereka diproses lebih cepat.

Fadhlina berkata, sebarang permohonan pertukaran mesti mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan.

“Keutamaan kita masih lagi kepada isu-isu pasangan jarak jauh, keselamatan, kesihatan dan sebab yang lain kita akan pertimbangkan dalam konteks kebajikan guru itu sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya