Permohonan tangguh bicara warga Israel 28 Februari

Permohonan tangguh bicara warga Israel 28 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Februari ini untuk pendengaran permohonan pembelaan yang mewakili lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas tuduhan berkaitan senjata dan peluru untuk menangguhkan perbicaraan kes itu.

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas mendengar hujahan ringkas daripada pihak pembelaan dan pendakwaan pada sebutan permohonan tersebut hari ini.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi permohonan ini pada 20 Januari ini dan pihak pendakwaan (responden) perlu memfailkan afidavit jawapan sebelum 28 Januari. 

“Sekiranya ada afidavit balasan daripada pihak perayu (pembelaan), mereka perlu memfailkannya pada atau sebelum 10 Februari,” katanya.

Semasa prosiding hari ini, peguam bela, Muhamad Aiman Haziq yang mewakili Avitan berkata, pihaknya bertegas untuk menangguhkan perbicaraan kerana jurubahasa yang disediakan tidak berkelayakan.

“Kami percaya permohonan ini tidak akan menjejaskan kes responden. Kami juga ingin merekodkan bahawa permohonan kami bukan untuk menangguhkan perbicaraan dan permohonan ini tidak berniat jahat,” katanya.

Mendengar hujah tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Suloshani Vijendran Vellupillai menegaskan bahawa pihaknya selaku responden membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan itu.

“Bagaimana boleh dikatakan jurubahasa yang disediakan tidak layak sedangkan jurubahasa tersebut belum lagi berkomunikasi dengan tertuduh,” katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Sesyen telah menangguhkan perbicaraan kes berkenaan buat kali ketiga berikutan pihak pembelaan mempertikaikan isu berkaitan jurubahasa bahasa Ibrani. 

Perbicaraan yang sepatutnya berjalan pada 6 Januari lalu dan seramai 30 orang saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.

Pada 12 April 2024, Avitan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan maksimum enam kali.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar 6.46 petang, pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya