Permohonan ke sektor awam dijangka naik - Utusan Malaysia

Permohonan ke sektor awam dijangka naik

ABDUL RAHMAN MOHD. NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permohonan menyertai sektor perkhidmatan awam dijangka terus meningkat dalam tempoh lima tahun ke depan selepas pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menyumbang kepada peningkatan gaji penjawat awam.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan rekod sebelum ini yang menunjukkan permohonan jawatan sektor kerajaan terus meningkat saban tahun.

Katanya, sejak tahun 2000 lagi permohonan untuk menyertai sektor perkhidmatan awam meningkat mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, sejak tahun 2020 apabila wabak Covid-19 melanda negara, permohonan untuk menyertai perkhidmatan awam meningkat mendadak disebabkan ramai pekerja swasta hilang pekerjaan.

“Tetapi, kita menjangkakan jumlah permohonan menyertai perkhidmatan awam akan terus meningkat memandangkan dengan pelaksanaan SSPA yang melihatkan gaji penjawat awam meningkat dan ditambahbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kerajaan meneri­ma 44,559,514 permohonan kerja dalam perkhidmatan awam sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019 sehingga 2023 melalui tiga agensi utama pihak berkuasa melantik (PBM).

Tiga agensi utama PBM itu ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Selain daripada tiga agensi itu, urusan pengambilan bagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah melalui Suruhanjaya Pasukan Polis, manakala bagi bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula ialah Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Untuk rekod, jumlah penjawat awam ketika ini mencecah 1.6 juta orang di seluruh negara.

Abdul Rahman berkata, selain gaji yang semakin berdaya saing, keterjaminan kehidupan sebelum dan selepas pencen juga menarik minat orang ramai untuk menyertai perkhidmatan awam.

“Pelbagai manfaat diperoleh jika menyertai sektor ini antaranya pencen bulanan selepas bersara, perkhidmatan kesihatan percuma, kemudahan pinjaman perumahan dan kenderaan serta banyak lagi.

“Jadi tidak hairanlah jika untuk tempoh lima tahun ke depan jumlah permohonan untuk menyertai sektor perkhidmatan awam akan terus meningkat daripada sebelumnya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya