KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas agar Hakim Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar kes saman fitnah bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.
Hakim Roz Mawar memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Tommy untuk menyingkirkannya sebagai hakim perbicaraan tidak mempunyai asas fakta yang kukuh termasuk dakwaan bahawa beliau telah membuat keputusan pramatang mengenai perkara itu.
Pada 26 Ogos 2024, Tommy telah memfailkan permohonan dengan mendakwa Hakim Roz Mawar telah membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah berhubung saman itu dan keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.
Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Roz Mawar menegaskan, kebelakangan ini wujud `trend’ tidak sihat dalam memfailkan permohonan penarikan diri terhadap hakim yang didakwa boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman negara.
Walaupun pihak peguam berhak memohon agar hakim menarik diri, permohonan tersebut perlu dibuat dengan mengambil kira kesan negatif yang mungkin timbul terhadap integriti badan kehakiman dan pentadbiran keadilan.
“Pada pandangan saya, cara permohonan penarikan diri ini difailkan (adalah) secara sambil lewa dan alasan yang dikemukakan sangat remeh serta tidak kukuh. Malah, saya boleh katakan, tindakan itu seakan-akan tidak menghormati dan menghina mahkamah,” katanya.
Tambah Hakim Roz Mawar, keputusan beliau menolak permohonan Tommy untuk membatalkan kes plaintif tidak menentukan secara muktamad isu-isu yang akan dikemukakan semasa perbicaraan.
“Oleh itu, saya tidak boleh menolak secara awal kes plaintif. Terpulang kepada plaintif (Shahrir) untuk meyakinkan saya selepas perbicaraan penuh berdasarkan keseimbangan kebarangkalian supaya tuntutan tersebut berjaya,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan Tommy membayar kos sebanyak RM20,000 kepada pihak plaintif (Shahrir) dan menetapkan 4 Mac ini untuk mendengar permohonan Thomas menangguhkan perbicaraan kes saman fitnah itu bagi merayu terhadap keputusan hari ini.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac 2026 dan 27 hingga 29 April 2026.
Turut hadir dalam prosiding hari ini ialah peguam Tommy, Alan Adrian Gomez serta peguam Shahrir, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Shahrir memfailkan saman tersebut pada Disember 2023 dengan menamakan Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.
Shahrir mendakwa semua defendan secara bersama atau berasingan telah melakukan siasatan dengan niat jahat, penangkapan secara salah pendakwaan berniat jahat (malicious prosecution) dan misfeasans (salah laku) di pejabat awam.
Saman Shahrir adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima beliau daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor. – UTUSAN