PETALING JAYA: Perlis sedia menawarkan kerjasama berbentuk ‘menang-menang’ kepada wilayah Ranong di Thailand jika projek pembinaan jambatan darat Land Bridge Ranong-Chumporn menjadi kenyataan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas mendengar taklimat mengenai cadangan perancangan projek tersebut oleh Gabenor Wilayah Ranong, Suphot Phutikiatkhajorn.
Menurut Suphot, status terkini adalah dalam kajian dan jika dilaksanakan kelak akan merangkumi enam lorong lebuh raya sejauh 94.9 kilometer (km), landasan kereta api berkembar serta dua pelabuhan yang akan merancakkan lagi ekonomi Thailand. Lapangan terbangnya juga akan dinaiktaraf.
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, sesi taklimat itu adalah sebahagian daripada program sempena lawatan kerja Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke wilayah berkenaan pada 7 hingga 9 Januari yang diketuai oleh baginda.
Kali terakhir baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis. Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengadakan kunjungan ke Ranong ialah pada tahun 2019.
Ranong merupakan salah satu destinasi dikunjungi secara giliran di antara 6 buah Majlis Agama Islam Wilayah Andaman yang merupakan rakan strategik MAIPs sejak sedekad yang lalu.
Ketika di Ranong, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Raja Puan Muda turut meluangkan masa meninjau Multi Purpose Pier of Ranong yang terletak menghadap negara Myanmar sejauh hanya kira-kira 5km dari situ.
Suphot yang baru dilantik sebagai Gabenor wilayah ini tiga bulan yang lalu turut mengiringi pasangan Diraja tersebut melawat beberapa lokasi menarik termasuklah Khao Nivet View Point yang baru sahaja siap dan dibuka untuk kunjungan orang ramai, Rattana Rangsarn Throne Hall dan juga OTOP Lifestyle Ranong. – UTUSAN