Perlis ada perancangan ke arah pelaksanaan hukuman sebat terbuka

Perlis ada perancangan ke arah pelaksanaan hukuman sebat terbuka

MOHD. Shukri Ramli (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan di pasar malam Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis mempunyai perancangan ke arah pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka terhadap pesalah syariah sebagai mana dilakukan Terengganu.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya akan melihat pendekatan pelaksanaan hukuman tersebut bersama pihak berkuasa agama negeri selepas ini.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini, kerajaan negeri belum mengadakan sebarang perbincangan bagi melaksanakan hukuman itu.

“Kerajaan negeri buat masa ini masih belum mengubah atau meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam bagi melaksanakan hukuman tersebut. Kami akan melihat pendekatan pelaksanaan hukuman tersebut bersama pihak berkuasa agama negeri selepas ini. 

“Negeri (Perlis) belum lagi sebab kita belum ubah atau pinda apa-apa berkaitan Enakmen Pentadbiran Agama Islam. Perancangannya ke arah itu, insya-Allah., kita akan lihat balik perkara ini bersama pihak berkuasa agama negeri,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, negeri-negeri khususnya ditadbir oleh Pas perlu membuat kesediaan ke arah melaksanakan hukuman sebat secara terbuka terhadap pesalah syariah sebagai mana dilakukan kerajaan negeri Terengganu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dilaporkan berkata, selain negeri diperintah Pas, negeri-negeri lain juga sepatutnya mengikut jejak langkah Terengganu melaksanakan perintah Allah SWT itu.

Kata Hashim, hukuman sebat secara terbuka itu dilihat hanya permulaan dan apabila mengikut perintah Allah SWT melaksanakan undang-undang Islam itu ia akan mendapat keberkatan.

Hukuman sebat secara terbuka mula dijalankan di Terengganu baru-baru ini dengan seorang duda menjadi individu pertama di negeri tersebut yang dikenakan hukuman itu kerana kesalahan khalwat berulang.

Selain Terengganu, negeri-negeri lain yang ditadbir Pas atau Perikatan Nasional (PN) adalah Kelantan, Kedah dan Perlis.

Mohd. Shukri dalam pada itu berkata, pelaksanaan hukuman itu adalah lebih kepada memberi pendidikan kepada pesalah dan bukannya semata-mata hanya bertujuan untuk menghukum. 

“Yang tidak bersetuju ini kena dalami agama banyak lagi, ada ruang boleh bincang dan tengok balik kerana ia lebih memudahkan sebenarnya. Pelaksanaan hukuman di Terengganu sebelum ini pun adalah melibatkan kesalahan syariah berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya