PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam di negara ini mampu menjadi contoh dalam kalangan negara-negara berkembang serta negara-negara Islam.
Buktinya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan dan keupayaan penjawat awam di negara ini dapat diterjemah selepas meraih kepercayaan oleh Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra baru-baru ini.
“Presiden Peru (ketika pertemuan di Peru pada November 2024) menyatakan mahu meningkatkan kerjasama selepas melihat kejayaan perkhidmatan awam di Malaysia.
“Malah, di beberapa negara lain seperti di Mesir, presiden negara itu juga mahu supaya hubungan dan kerjasama dengan perkhidmatan awam kedua-dua negara ditingkatkan kerana beliau mengikuti perkembangan dan melihat kaedah pentadbiran Malaysia.
“Ini bukan khidmat dan jasa saya, ini bukan kerana saya Perdana Menteri, ini kerana tradisi dan warisan.
“Peranan kita sekarang ialah memberikan sedikit lagi kejutan supaya semangat ini ditingkatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Justeru, katanya, beliau mahu penjawat awam terus meningkatkan prestasi masing-masing bagi menempa kejayaan lebih besar pada masa hadapan.
Pada masa sama, Anwar berkata, perkhidmatan lebih baik kepada rakyat boleh lagi ditingkatkan termasuk mengurangkan tempoh beberapa minggu kepada seminggu bagi mendapatkan kelulusan dalam urusan kerajaan.
Menurutnya, sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara menjelaskan proses itu memerlukan tempoh berbulan, namun kini tempoh itu dicatat dalam beberapa minggu sahaja.
“Maka tujuan yang berikutnya adalah untuk mengurangkan dari beberapa minggu kepada satu minggu. Apakah ini mungkin? Saya percaya mungkin. Ini yang menjadi cabaran buat kita.
“Apakah perlu rakyat kita untuk mendapat lesen, untuk memperbaharui lesen, harus beratur berjam-jam dan mengambil cuti satu hari,” katanya.
Katanya, pengurangan proses menunggu lama boleh ldilakukan melalui proses yang disebut transformasi digital di mana rakyat boleh menjalankan tugas kembali selepas selasai urusan terlibat. – UTUSAN