PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menunaikan janjinya untuk hadir ke perhimpunan untuk menunjukkan solidaritinya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau hadir ke perhimpunan tersebut walaupun UMNO melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan arahan untuk membatalkan perhimpunan tersebut.
“Anak jantan hadir sendiri bersama rakyat, bukan duduk dalam hotel dan pergunakan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Hari ini, rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, media melaporkan, UMNO membatalkan perhimpunan untuk Najib yang juga bekas Presidennya kerana akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan menggunakan saluran perundangan ditetapkan.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin dan ahli UMNO yang masih mahu menyertai perhimpunan solidariti untuk Najib di Putrajaya hari ini, perlu menanggung risiko sendiri. – UTUSAN