TENOM: Perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 39, yang dijadualkan sehingga hari ini ditangguhkan pada Mac depan.
Perbicaraan pada hari ini dikosongkan selepas peguam yang mengetuai pihak pembelaan, Datuk Ram Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mempunyai kes di Mahkamah Tinggi Sandakan.
Justeru, perbicaraan kali ini ditangguhkan sehingga semalam dan akan bersambung pada bulan Mac.
Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudian menetapkan tarikh perbicaraan berikutnya pada 11 hingga 14 Mac dan mengosongkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Mac.
Majistret memaklumkan tarikh yang dijadualkan pada 4 Mac terpaksa dikosongkan kerana beliau mempunyai mesyuarat statistik dan kesemua peralatan yang digunakan dalam kes tersebut akan diguna pakai bagi mesyuarat berkenaan.
Kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mencapai persetujuan agar tarikh awal yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Mac dikosongkan dan digantikan dengan tarikh 11 hingga 14 Mac.
Perbicaraan pada 11 Mac akan dimulakan dengan sesi zoom dengan saksi ke-14, bekas Juruanalisis Forensik Digital Cybersecurity Malaysia, Muhammad Umar Shahbuddin dan saksi ke-15, Ketua Bahagian Perkhidmatan Teknologi Responsif Cybersecurity Malaysia, Mohd. Zabri Adil Talib berkaitan pengecaman cakera padat yang mengandungi laporan analisis forensik.
Pihak pendakwaan juga akan menampilkan saksi baharu pada perbicaraan 12 Mac depan.
Setakat ini, 15 saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung; Mohd. Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi; Asisten Superitendan Salwani Mohd. Hadzir; Asisten Superitendan Siti Nooraini Mohd. Sahid; Asisten Superitendan Norfazliyani Zolkapeli; Superitendan Hirdawati Isa; Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz; Inspektor Yip Chang Ching; pengadu, Koperal Shahrul Sanudin; Koperal Husni Haris Ramli @ Fauzi; Koperal Andria Anak Empeny, Tajul Josalmin Tajul Ariffin, Muhammad Umar dan Mohd. Zabri.
Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Rasyidah Murni Adzmi manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Timothy Daut, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prem Elmer Ganasan.-UTUSAN