PUTRAJAYA: Badan Peguam Malaysia menyeru sistem penjara di negara ini diperbaharui dengan pendekatan lebih efisien dan memfokuskan kepada pemulihan.
Yang Dipertua, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, hal ini perlu dipandang serius dengan mempertimbangkan alternatif kepada pemenjaraan seperti keadilan restoratif, program khidmat masyarakat dan inisiatif yang memfokuskan kepada pemulihan.
Katanya, ia bukan sahaja memberi peluang kepada pesalah untuk menebus kesalahan mereka malah turut menekankan kepada aspek penyembuhan bagi mangsa serta akauntabiliti individu itu sendiri.
“Sistem penjara sedia ada perlu diteliti semula kerana banyak memenjarakan individu dalam keadaan yang gagal untuk memulihkan atau menghormati martabat mereka.
“Seperti mana perhambaan yang kini dipandang dengan kejutan dan ketidakpercayaan, dalam 100 tahun akan datang, masyarakat mungkin melihat sistem penjara semasa dengan perasaan yang sama.
“Mengurung seseorang dalam ruang terpencil dan seringkali dalam keadaan yang tidak menyelesaikan masalah atau mengubah tingkah laku, mungkin akan dilihat sebagai kuno dan tidak berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025, di sini, hari ini.
Mohamad Ezri berkata, negara seperti Norway wajar dijadikan contoh kerana mengutamakan layanan berperikemanusiaan dan pemulihan dengan sistem yang adil malah pendekatan itu terbukti berkesan apabila kadar residivisme atau kesalahan berulang dalam kalangan bekas banduan di negara itu berjaya diturunkan dengan ketara.
“Sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan pembaharuan yang serius dalam sistem keadilan. Dengan peralihan ke arah keadilan pemulihan, kita pasti dapat menangani isu-isu asas yang menyebabkan jenayah seperti kemiskinan, kekurangan pendidikan dan masalah kesihatan mental,” katanya.
Sementara itu, katanya, perubahan perundangan yang menyokong hukuman alternatif dan pelaburan dalam program berasaskan komuniti akan membuka ruang kepada sistem keadilan yang lebih berperikemanusiaan dan berkesan.
Katanya, sebuah masyarakat yang adil bukan hanya menghukum, sebaliknya membantu memulihkan dan mengembalikan martabat individu terbabit.
“Pembaharuan sistem penjara bukan sekadar mengenai polisi tetapi ia turut melibatkan prinsip.
“Adakah kita ingin mengekalkan sistem yang mengekang individu terhadap kesilapan terburuk mereka atau adakah kita ingin mencari sistem yang mengiktiraf potensi mereka untuk penebusan?” soal Ezri.-UTUSAN