GEORGE TOWN : Perancis komited untuk terus menjalin kerjasama rapat dengan negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia pada tahun ini.
Duta Besar Perancis ke Malaysia, Axel Cruau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh menjadi pemacu utama kepada inisiatif-inisiatif ASEAN demi kebaikan semua pihak.
“Malaysia adalah sebuah negara yang penting bagi kami (Perancis) di Asia Tenggara dan kami menjangkakan ASEAN akan mencapai kemajuan yang lebih membanggakan di bawah kepimpinan Malaysia selepas ini.
“Pada masa yang sama, kami turut berharap agar lebih banyak inisiatif baharu dapat dicapai apabila Malaysia mempengerusikan ASEAN terutama dalam bidang seperti keselamatan, keamanan, dan kestabilan yang menjadi asas kepada kemakmuran di Indo-Pasifik.
“Secara keseluruhannya, kami berharap Malaysia juga akan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai Pengerusi ASEAN dengan menjadikan inklusiviti serta kelestarian sebagai dua moto (cogan kata) utama (dalam senarai keutamaan) mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika satu sesi dialog selepas lawatan media ke kapal Pemusnah Pertahanan Udara milik Tentera Laut Perancis yang berlabuh di jeti Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini.
Mengulas lanjut, Cruau berkata, Perancis yang mewakili Kesatuan Eropah (EU) juga bersemangat untuk memperkukuh dialog bersama ASEAN yang dipengerusikan Malaysia dalam menyokong sebarang usaha atau inisiatif oleh ASEAN.
“Apa sahaja inisiatif sama ada dalam bidang tenaga, pembangunan atau keutamaan lain, kami sedia untuk bekerjasama dan menyumbang kepada matlamat ASEAN.
“Dalam hal ini, kami terbuka kepada semua perkara. Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sangat mengetahui akan perkara ini dan beliau juga akan ke Eropah termasuk Brussels dalam masa beberapa hari lagi.
“Jadi, kami berharap akan ada berita positif sepanjang lawatan itu,” katanya yang menambah, Perancis adalah rakan ASEAN dan negara itu juga bersedia untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan negara-negara rantau Asia Tenggara selepas ini.
Terdahulu, pasukan pengangkut penyerang Perancis (CGS) yang terdiri daripada kapal induk pengangkut pesawat, Charles De Gaulle Aircraft Carrier, Air Wing Carrier dan kapal pengiringnya (kapal pemusnah dan bekalan) dilaporkan telah singgah di Pulau Pinang sejak Ahad lalu.
Dalam masa beberapa hari dan merangkumi misi CLEMENCEAU 25, CSG Perancis serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka mengambil bahagian dalam edisi keempat latihan multinasional ‘LA PEROUSE’ yang dianjurkan oleh Tentera Laut Perancis.
Selain Malaysia dan Perancis, enam lagi negara yang turut-serta dalam latihan keselamatan maritim yang akan berlangsung serentak di tiga kawasan iaitu Selat Melaka, Laut Sunda dan Lombok itu ialah Australia, Kanada, India, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.-UTUSAN