IPOH: Perak FC kehilangan tiga pemain sebelum berakhir musim bola sepak 2024-2025.
Lee Tea Min, Jasper Nyholm dan Luka Milunovic terpaksa angkat kaki selepas kontrak mereka tidak diperbaharui.
Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd Yusri Che Lah mengesahkan mengenai pemergian trio itu.
“Kontrak mereka sudah tamat dan tidak diperbaharui,” katanya ketika dihubungi.
Dengan Perak kini kekurangan tiga pemain, Mohd. Yusri perlu bekerja keras untuk memastikan pemain yang ada beraksi pada tahap terbaik dalam baki lapan perlawanan.
Tidak cukup dengan masalah kekurangan pemain, Perak FC juga ibarat jatuh ditimpa tangga apabila dibelenggu kecederaan kapten, Luciano Guaycochea dan Clayton Da Silva.
“Kecederaan Luciano (Lucho) sedikit sebanyak memberi kesan terhadap corak permainan pasukan.
“Dia masih belum seratus peratus sembuh dan saya mengharapkan dia pulih sepenuhnya menjelang perlawanan menentang Penang FC pada 12 Januari ini,” katanya.
Mohd. Yusri berkata, Clayton juga mengalami kecederaan semasa perlawanan menentang Selangor tetapi tetap beraksi ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Pahang di Temerloh.
“Dia tidak dapat berlatih bersama pasukan kerana kecederaan yang dialaminya,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika pasukan utama kekurangan pemain, inilah masanya untuk pemain dari skuad Bawah 23 Perak FC untuk tampil dan mengambil setiap peluang yang diberikan untuk menimba ilmu dan pengalaman. – UTUSAN