IPOH: Kemampuan daerah Larut, Matang dan Selama merekodkan lebih sejuta pelancong membantu negeri ini mencapai sasaran kempen Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Muzium Telegraf, Antong Coffee serta Trong Leisure Farm dalam daerah tersebut menjadi tarikan utama dan menyaksikan peningkatan pengunjung 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini membuktikan bahawa sektor pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada kawasan bandar, tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang kaya dengan keunikan dan warisan tersendiri,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis Finale TMP 2024 dan sambutan tahun baharu 2025 bersama lebih 35,000 pengunjung di Bulatan Sultan Azlan Shah.
Perak menyasarkan menarik lebih lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa berkunjung ke negeri ini sempena TMP 2024.
Saarani berkata, sehingga November Perak menerima 8.4 juta pelancong harian manakala setakat September 2024, seramai 627,292 pelancong antarabangsa telah melawat negeri ini.
“Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 135 peratus berbanding kempen Tahun Melawat Perak 2017. Ipoh dan Pulau Pangkor terus menjadi destinasi tumpuan utama,” katanya.
Beliau menanggap TMP 2024 penting kerana turut membangunkan modal insan dalam sektor pelancongan menerusi pelbagai latihan untuk melahirkan ramai pemandu pelancong, operator bot, serta pengusaha rumah inap dan resort.
Katanya, pencapaian itu juga akan menjadi landasan kepada negeri ini sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada pelancongan berasaskan komuniti dan agropelancongan, memastikan penduduk luar bandar dan golongan B40 dapat menikmati limpahan manfaat daripada pembangunan pelancongan ini,” katanya. – UTUSAN