Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan jauh ketinggalan

Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan jauh ketinggalan

SURI rumah juga membantu ekonomi keluarga dengan usaha sendiri seperti menjahit pakaian. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 50 peratus wanita bekerjaya memilih untuk menjadi suri rumah atas faktor keluarga, manakala 15 peratus lagi berhenti kerja atas pilihan sendiri.

Menurut penulis Kajian Kesejahteraan Suri Rumah Berpendidikan Tinggi, Ila Nursalida Ali Amran, keputusan wanita untuk tidak bekerja bukannya berlandaskan kekangan ekonomi semata-mata, tetapi juga atas pilihan peribadi berdasarkan keutamaan individu dan keluarga.

Katanya, kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam sektor pekerjaan masih jauh ketinggalan berbanding lelaki wajar diberi perhatian, namun ia perlu dianalisis dalam konteks yang lebih luas.

Berdasarkan kajian terhadap 256 orang responden, faktor utama yang mendorong wanita berhenti kerja dan menjadi suri rumah adalah faktor keluarga iaitu sebanyak 45.8 peratus.

Kajian sama menunjukkan, 15 peratus wanita memilih untuk menjadi suri rumah atas keinginan peribadi, manakala 11.4 peratus lagi disebabkan kesukaran untuk mencari pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan.

“Keutamaan kepada keluarga menjadi pendorong utama wanita berpendidikan tinggi memilih untuk menjadi suri rumah. Ia mengambil kira dominasi peranan sosial wanita yang lebih tertumpu kepada peranan di dalam rumah berbanding di luar rumah.

“Keinginan peribadi menunjukkan peratusan kedua tertinggi menandakan pilihan menjadi suri rumah dibuat tanpa paksaan dan kerelaan individu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penglibatan kaum wanita masih ketinggalan dan hanya menyumbang sebanyak 38.8 peratus (6.71 juta orang) berbanding lelaki dengan sumbangan sebanyak 61.2 peratus (10.56 juta orang).

Peningkatan jumlah wanita memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dikhuatiri menjadi punca kadar kemiskinan isi rumah semakin meningkat dalam negara.

Apabila wanita terutama yang memiliki kelayakan akademik memilih menjadi suri rumah sepenuh masa ia akan menyebabkan pendapatan isi rumah berkurangan dan boleh menjerumuskan keluarga me­reka di kancah kemiskinan.

Ila berkata, kehadiran ibu sepenuh masa dapat membantu pembentukan peribadi dan moral yang lebih baik dalam generasi akan datang.

“Suri rumah memainkan peranan yang signifikan dalam mendidik anak-anak, memastikan kestabilan emosi mereka dan mewujudkan suasana yang harmoni di rumah. Sumbangan ini tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

“Malah, usaha wanita membantu ekonomi keluarga boleh memberi kesan negatif terhadap kualiti keibubapaan dan hubungan keluarga sekiranya peranan dalam keluarga dan kerjaya tidak diseimbangkan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu menyediakan sokongan yang inklusif sama ada dalam bentuk pemberian insentif kewangan atau penyediaan program-program pembangunan kemahiran bagi menyokong wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah.

“Antaranya, kerajaan boleh memperkenalkan insentif seperti elaun khas kepada suri rumah atau potongan cukai kepada suami sebagai penghargaan atas sumbangan suri rumah kepada keluarga.

“Selain itu, kerajaan juga boleh mewujudkan program sokongan sosial seperti latihan kemahiran, platform jaringan komuniti dan sokongan untuk suri rumah bagi berkongsi pengalaman dan mendapatkan inspirasi,” katanya.

Katanya, dasar mesra keluarga juga boleh dilaksanakan bagi memastikan suri rumah boleh bekerja secara fleksibel, separuh masa atau secara jarak jauh bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap keluarga.

Habis //

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya