KUALA LANGAT: Seorang penyelia nyaris maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya dilanggar sebuah lori sebelum terhimpit dengan sebuah lagi kenderaan berat dalam kemalangan dekat Kilometer (KM) 13 Jalan Bukit Changgang – Sepang, kelmarin.
Dalam kejadian tersebut, kereta dipandu lelaki berusia 30-an yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu sedang dalam perjalanan menghala ke Kuala Langat berdekatan dengan persimpangan lampu isyarat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 7.45 malam berhubung kejadian membabitkan tiga kenderaan selain kereta iaitu lori jenis Sinotruck berwarna biru dan Scania putih.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori Sinotruck berhenti di lampu isyarat. Semasa lampu isyarat bertukar dari merah ke hijau, pemandunya berusia 60-an bergerak dan memberi isyarat ke kiri untuk mengubah haluan ke lorong sebelah kiri.
“Sedang bergerak untuk menukar lorong, dia melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri kereta Proton Saga berwarna putih menyebabkan kenderaan itu berpusing lalu melanggar bahagian sisi hadapan sebelah lori Scania,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, bagaimanapun kesemua kedua-dua lelaki termasuk pemandu lori Scania berusia 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah pun membuat laporan polis di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IDP) Kuala Langat.
“Ketiga- tiga pemandu sudah diambil rakaman percakapan. Kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Kata Mohd. Akmalrizal lagi, orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Penolong Pegawai Penyiasat Penyisatan Trafik BSPT IPD Kuala Langat, Sarjan Mohd. Khairul Mohd. Adnan di talian 017-2824458) atau 03-31872222. – UTUSAN