TAIPING: Lebih 250 orang penternak kerang Daerah Larut Matang di sini berdepan masalah berkenaan pembaharuan lesen pendudukan sementara (TOL) tapak ternakan kerang dasar laut daerah Larut Matang.
Pengerusi Persatuan Penternak Kerang Kuala Sepetang, Koay Seng Lam berkata, kelewatan agensi terlibat memproses TOL sejak 2019 menyebabkan perusahaan mereka mengalami kerugian lebih RM500,000 sebulan berikutan berhadapan dengan kegiatan mencuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, antara isu yang mereka hadapi apabila pencuri atau pemungut mendakwa kerang diternak itu tidak mempunyai TOL dan mereka berhak mengambil kerang yang ada dalam tapak ternakan sehingga menimbulkan konflik antara mereka.
“Ini menyebabkan kami mengeluarkan kos yang tinggi menggaji pekerja bagi menjaga tapak sebagai salah satu usaha mengekang kegiatan curi kerang di perairan Kuala Sepetang di sini.
“Pemungut kerang ini bukanlah nelayan berdaftar di bawah persatuan, setiap hari mereka keluar lewat petang hingga malam menaiki bot tanpa ada nombor pendaftaran untuk pungut kerang diternak di kawasan kami.
“Sekiranya tidak ditangani dengan baik, isu tersebut akan mencetuskan pergaduhan dalam kalangan komuniti nelayan,” katanya.
Menurutnya walaupun banyak tapak ternakan kerang masih belum mendapat pembaharuan TOL atau kelulusan untuk tapak baharu, mereka terpaksa meneruskan kegiatan ternakan di kawasan yang masih produktif seperti dari Tanjung Burung hingga ke Sungai Tiram Laut.
Menurutnya, mereka meneruskan ternakan kerana kawasan ini subur dengan benih kerang dan penternak mula melabur banyak wang untuk membeli benih kerang tempatan serta luar.
“Namun, tanpa kelulusan yang sah, keadaan ini amat menjejaskan kelangsungan industri ini,” katanya.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Manjung Utara, Faizul Sofian Sabddin dalam pada itu berkata, pihak berwajib harus proaktif mencari jalan penyelesaian memperbaharui TOL secara adil dan menyeluruh.
“Kami mencadangkan agar pihak berkuasa memberi kelonggaran dalam proses permohonan dan mengutamakan sokongan daripada persatuan nelayan atau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Kami sudah lama terlibat dalam industri ini, termasuk pengeksportan kerang ke luar negara. Namun, sekarang kami terpaksa menanggung risiko besar kerana masalah TOL yang belum selesai,” katanya. – UTUSAN