SHAH ALAM: Kira-kira 176 penternak di seluruh Selangor meminta kerajaan negeri menyediakan tempat baharu bagi meneruskan perusahaan ternakan lembu mereka apabila menerima notis pengusiran daripada pemilik tanah, Sime Darby (SD) Guthrie pada 31 Disember lalu.
Mereka mendakwa berasa kesal dengan notis tersebut yang disifatkan sebagai terlalu tergesa-gesa dengan memberi tarikh akhir pemindahan pada 31 Januari ini.
Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, R. Vijayagandi, 49, berkata, para penternak terutama di Sabak Bernam dan Kuala Selangor terkejut apabila diarahkan berpindah walaupun sudah mengusahakannya sejak 50 tahun lalu di kawasan berkenaan.
“Kebanyakan penternak adalah penduduk setempat yang menjalankan penternakan tenusu dan daging lebih tiga generasi. Justeru, penternak menyeru agar kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari supaya membatalkan notis yang dikeluarkan oleh SD Guthrie.
“Kerajaan negeri juga diharap tidak meminggirkan para penternak berkenaan yang merupakan penyumbang kepada ekonomi dan jaminan makanan,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan aman penternak lembu SD Guthrie, hari ini.
Terdahulu, lebih 100 individu terdiri daripada penternak lembu di enam ladang sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor berhimpun secara aman di hadapan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, hanya 12 daripada mereka termasuk Vijayagandi dibenarkan masuk ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu bagi menyerahkan memorandum.
Antara tuntutan dikemukakan adalah meminta Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail menarik balik kenyataan dikeluarkan pada 19 Disember lalu, menggesa campur tangan kerajaan negeri membatalkan notis dan menghamonikan aktiviti penternakan dan perladangan seperti dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan negeri mengarahkan SD Guthrie, Sabak Bernam supaya segera memindah dan mengosongkan lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, satu mesyuarat khas diadakan sebelum itu bersama pihak terlibat mengenai isu lembu ternakan yang dibiarkan bebas di tanah ladang itu selain penternak didakwa mendudukinya secara tidak sah.
Sementara itu, penternak, K. Kannamma, 62, yang mengusahakan ternakan di Ladang Braunston, Jeram memberitahu, dia menangis ketika menerima notis tersebut kerana ternakan itu adalah satu-satunya sumber pendapatan mereka.
“Saya mengusahakan ternakan lebih 40 tahun dan membesarkan empat orang anak dengan hasil jualannya. Tak tahu hendak pindahkan 60 ekor lembu ke mana, sudahlah jualan lembu seekor sekitar RM1,500 hingga RM1,600, bukan ada jualan setiap hari untuk tempahan Hari Raya Haji nanti baru dua ekor,” luah ibu tunggal itu.
Bagi seorang lagi penternak, R. Shilah, 42, pula mendakwa hanya menerima notis tersebut pada minggu lalu dan buntu hendak memindahkan 40 ekor lembu ternakannya ke lokasi lain.
“Saya baru dapat notis pada minggu lepas, meman terkejut sebab tarikh akhir pada 31 Januari yang tinggal kurang 10 hari dari sekarang. Ke mana saya hendak pindah? SD Guthrie atau kerajaan negeri tak ada gantikan tempat baharu,” ujarnya.
Bagaimanapun, seorang lagi penyelaras gerakan tersebut, S. Tinagaran, mengakui berlaku insiden kemalangan yang melibatkan lembu-lembu milik para penternak berkenaan, namun menegaskan perkara itu tidak seharusnya menjadi asas kepada pemindahan tersebut.
“Itu tak boleh dijadikan alasan. Tak ada alasan lain dikemukakan sama ada pembinaan dan sebagainya, sebaliknya dikatakan ternakan menyebabkan kemusnahan pokok-pokok kecil, sedangkan penternak menternak dekat kawasan tiang pencawang elektrik di ladang-ladang berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN