PETALING JAYA: Penjualan arak jelas tidak mencerminkan hasrat majoriti rakyat yang mahu pengawalan yang lebih ketat terhadap penjualan minuman keras itu.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, mengekang penjualan arak bukan hanya seiring dengan ajaran agama Islam, tetapi juga bertepatan dengan norma moral masyarakat yang lebih luas.
Katanya, ramai sudah menyedari bahawa arak boleh mendatangkan mudarat seperti kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga, hubungan terlarang dan pelbagai masalah sosial yang lain.
“Oleh itu, PUM ingin mencadangkan agar kerajaan bertindak tegas dalam isu ini sebagai langkah memperkasa masyarakat sivil yang baik, selaras dengan agenda Madani yang diingini oleh kerajaan.
“Kenyataan yang dibuat yang menyokong kelangsungan penjualan arak jelas tidak mencerminkan hasrat majoriti rakyat yang mahu pengawalan yang lebih ketat terhadap penjualan minuman keras ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilapor akan mengkaji pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi.
Mengulas lanjut, Wan Mohamad berkata, pihkanya melihat bahawa MBI telah mengambil langkah yang amat rasional dan sangat menghormati kedudukan orang bukan Islam apabila pewartaan mengenai larangan penjualan arak hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja yang majoriti Muslim, dan tidak melibatkan keseluruhan kawasannya.
Kata beliau, PUM dengan tegas menyatakan tidak bersetuju dengan penjualan arak yang terus dibenarkan beroperasi secara terbuka khususnya dalam kawasan majoriti Muslim di negara ini.
Beliau mahu kerajaan dan Jemaah Menteri bertindak tegas atas perkara itu.
“Masih terdapat kedai yang menjual arak tanpa kaunter khusus, malah pekerja Muslim terpaksa mengendalikannya.
“PUM mendesak kerajaan agar menguatkuasakan kawalan ketat di mana penjualan arak hanya dibenarkan dengan kaunter khas dan tidak melibatkan pekerja Muslim. Ini adalah langkah-langkah kawalan yang amat perlu bagi memastikan penjualan arak tidak mengganggu ketenteraman dan keharmonian masyarakat,” katanya. – UTUSAN