SEREMBAN: Sembilan penjenayah yang bersenjatakan parang dan menyamar sebagai anggota penguat kuasa diberkas polis dalam tempoh kurang lima jam selepas menceroboh masuk kawasan kebun sayur di Mantin, Nilai di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lebih kurang 12.10 tengah malam, seorang lelaki menerima maklumat daripada pekerjanya di kebun sayur yang memaklumkan bahawa sekumpulan lelaki seramai sembilan orang dengan bersenjatakan parang telah menceroboh masuk kawasan itu.
“Sekumpulan penjenayah itu dipercayai telah menyamar sebagai anggota penguat kuasa sebelum merompak enam pekerja hingga mendatangkan kecederaan.
“Bertindak atas maklumat, lebih lebih kurang pukul 5.30 pagi sepasukan polis telah ke lokasi kejadian dan telah berjaya menahan sembilan lelaki warga tempatan dalam lingkungan umur 20-an.
“Turut berjaya dirampas adalah lima buah motosikal yang dinaiki suspek, dua bilah parang, sebilah rotan dan tujuh buah telefon bimbit,” katanya hari ini.
Abdul Malik berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah terhadap semua suspek telah dilakukan di Mahkamah Seremban dan dibenarkan ditahan selama tujuh hari bermula hari ini. – UTUSAN