SEREMBAN: Hampir 50,000 orang penjawat awam di Negeri Sembilan ini bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM200 bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemberian tersebut akan turut melibatkan penjawat awam Persekutuan termasuk guru dan tentera serta lain-lain perkhidmatan yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM10 juta.
Beliau berkata, bantuan berkenaan turut diberikan kepada penjawat awam Persekutuan termasuk guru, polis, bomba, tentera dan lain-lain perkhidmatan dengan melibatkan jumlah peruntukan kira-kira RM10 juta.
“BKK berkenaan dijangka akan disalurkan sebelum bulan Mac ini dan diharap insentif yang diberikan ini datang dengan tanggungjawab yang lebih besar agar semua penjawat awam terus berusaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajan negeri juga bersedia untuk menganjurkan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 bersekali dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia pada tahun itu.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap semua penjawat di Negeri Sembilan dapat membantu mempromosikan negeri ini bagi menarik ahli keluarga serta rakan masing-masing untuk berkunjung ke negeri ini.
Katanya, sektor pelancongan merupakan sumber ekonomi mampan dan lestari bagi Negeri Sembilan dan telah menunjukkan kehadiran pelancong yang membanggakan dengan peningkatan 30.2 peratus iaitu sebanyak 15 juta orang pada tahun 2023 ketimbang 11.5 juta orang pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah menetapkan segmen pelancongan melalui pecahan 60 peratus pelancongan pantai, 30 peratus ekopelancongan dan 10 peratus pelancongan adat, warisan serta budaya.
“Penetapan ini dibuat kerana negeri ini sememangnya kaya dengan kawasan tarikan pelancong terutamanya yang berteraskan alam semula jadi seperti pantai dan Taman Eko Rimba selain daripada keunikan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
“Saya menyarankan agar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) memikirkan inisiatif dan pakej yang sesuai untuk membantu penjawat awam di Negeri Sembilan bagi tujuan promosi ini. – UTUSAN