Penjaja didenda RM3,000 hina Agong

Penjaja didenda RM3,000 hina Agong

SEORANG penjaja didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penjaja didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi aplikasi X, hujung tahun lalu.

Hakim, Hazeelia Muhammad turut memerintahkan Zaidi Mat Sah, 56, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zaidi didakwa membuat satu hantaran dalam aplikasi X menerusi akaun BitZ@zatocent dengan kenyataan tersebut mendatangkan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong di sebuah rumah di Jalan Sutera Kuning 2, Taman Sutera, di sini pada pukul 5.45 pagi, 29 Disember lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab. Latif memohon mahkamah memberi hukuman setimpal kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius.

Tertuduh dalam rayuannya memohon agar hukuman ringan diberi kerana telah insaf serta menyedari kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

“Saya seorang penjaja tepi jalan, saya juga menanggung isteri dan anak masih kecil selain turut menjaga ibu mentua serta kakak dan adik yang merupakan orang kurang upaya (OKU) terlantar.

“Saya juga ingin maklumkan kenyataan tersebut bukan tulisan asal saya, tetapi saya hanya ‘copy paste’ kemudian ‘repost’ sahaja. Saya terkhilaf dan tidak tahu ia merupakan kesalahan 3R,” katanya yang tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh yang ditemani isterinya kemudian membayar denda tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya