BALIK PULAU : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan penilaian oleh pihak ketiga bagi memastikan keberkesanan setiap inisiatif yang dijalankan oleh kementerian itu agar ia benar-benar memenuhi keperluan dan harapan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting untuk menilai secara objektif pelaksanaan program yang telah dirancang, sekali gus memastikan manfaat yang diberi menyentuh golongan sasaran.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dalam hal ini, setiap pendekatan yang diguna harus sentiasa relevan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) juga perlu dinilai berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat.
“Maka, itulah sebabnya saya mencadangkan agar kita menjalankan penilaian pihak ketiga bagi menilai secara objektif keberkesanan setiap inisiatif yang kita laksanakan.
“Dengan ini, kita dapat memastikan bahawa setiap program itu menyentuh golongan sasaran dengan impak yang maksimum,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemukiman KKDW 2025 di sini, malam ini.
Pada majlis yang sama, Ahmad Zahid turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan bersama antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. dan Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd.
Ahmad Zahid berkata, beliau juga mahu KKDW memperhebatkan usaha Perkhidmatan Pasca Penyerahan (Post-Delivery Service) dalam setiap program pembangunan seperti dalam Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
“Kita tidak boleh hanya membina rumah dan meninggalkan penerima begitu sahaja. Kita perlu kembali bertemu, membuat susulan dan bertanya tentang tahap kepuasan mereka. Pendekatan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan, tetapi juga memastikan pembangunan yang mampan,”katanya.
Justeru, beliau berharap agar usaha itu dapat direalisasikan dengan lebih sistematik melalui penggunaan teknologi seperti papan pemuka digital, data bank dan sistem pemetaan interaktif yang dapat memantau prestasi projek secara langsung.
Tambah Ahmad Zahid, agensi-agensi di bawah KKDW seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga akan terus diperkasa mulai tahun ini.
“Sebagai agen kerajaan di peringkat akar umbi, usaha ipemerkasaan ini perlu dibuat dengan sumber, latihan, dan peranan yang lebih strategik agar rakyat lebih cakna terhadap segala inisiatif dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.-UTUSAN