KUALA LUMPUR: Seorang peniaga didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan premis perniagaannya dengan aktiviti lain, bulan lalu.
Masjitret Aina Azahra Ariffin membuat keputusan itu setelah tertuduh, Arvindran Karnan Murti, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara selama dua bulan.
Mengikut pertuduhan, Arvindran didapati menjalankan aktiviti lain di premis perniagaan selain yang dinyatakan dalam lesen.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 12.45 malam, 9 Disember lalu, di Bright Wines Bar and Cafe (Kingz) di Jalan Thambipillay, Brickfields di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 20 (1)(e) Undang-undang Kecil Perlesenan TRED, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 38 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam bela, Venugopal Narasiman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
“Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah. Dia juga perlu menanggung kedua ibu bapanya. Dimohon agar mahkamah mempertimbangkan denda paling minimum dikenakan terhadap tertuduh,” katanya. – UTUSAN