Peniaga Padang Astaka Chukai lega tidak diboikot

Peniaga Padang Astaka Chukai lega tidak diboikot

KEADAAN pasar pagi dan pasar tani di Padang Astaka Chukai di Kemaman, Terengganu berjalan seperti biasa semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kira-kira 150 peniaga pasar pagi dan pasar tani di Padang Astaka Chukai, di sini lega orang ramai tidak memboikot pasar tersebut ekoran kejadian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dibelasah minggu lalu.

Tinjauan di kedua-dua pasar yang terletak bersebelahan itu mendapati orang ramai memenuhi pasar tersebut untuk membeli makanan, pakaian dan barangan basah termasuk ikan serta sayuran seawal pukul 7 pagi.

Seorang peniaga, Rabiatul Tadawiyah Yusof berkata, meskipun kejadian itu tular dalam laman sosial dan ada warganet yang meminta supaya pasar itu diboikot, dia bersyukur pembeli tidak terpengaruh.

“Alhamdulillah, selepas kejadian itu perniagaan kami berjalan seperti biasa. Pada awalnya memang risau juga kalau ada orang boikot sebab ini sahaja punca rezeki kami.

“Pasar ini beroperasi setiap hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Masih ramai yang datang membeli, malah ada pengunjung dari luar juga datang ke pasar ini,” katanya yang berniaga air balang.

Bagi Kamaruddin Ahmad, 73, yang telah 40 tahun berniaga nasi kerabu di situ, kejadian pukul itu pertama kali berlaku di tapak pasar berkenaan.

“Saya peniaga paling lama, kejadian itu pertama kali berlaku dan Insya-Allah tak akan berlaku lagi. Orang ramai tak perlu takut datang membeli di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd. Syukri Ahmad, 30, berkata, dia yang datang ke Kemaman untuk bercuti bersama keluarganya turut mengambil peluang untuk membeli barangan di pasar itu.

“Saya dan keluarga sengaja datang ke pasar ini, mahu tengok tempat yang tular dalam media sosial,” katanya.

Dalam insiden itu, lelaku OKU berkenaan dibelasah oleh orang ramai selepas dia terlanggar gerai mi goreng di pasar berkenaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya