PETALING JAYA: Pemandu-pemandu lori yang menggunakan pelekat ‘ajaib’ menikmati keistimewaan tersendiri apabila memperoleh maklumat khas mengenai operasi sekatan jalan raya yang dibocorkan oleh sindiket.
Pengasas dan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Lori dan Bas, Hari Md. Ali mengakui bahawa terdapat pelekat khas ditawarkan kepada pengusaha-pengusaha lori melalui bayaran bulanan.
Katanya, sebelum pelekat khas itu diwujudkan terdapat kaedah lain digunakan sindiket tersebut iaitu melalui keychain (rantai kunci) dipasang di kunci lori sebagai tanda ‘penjagaan’.
Jelasnya, pemandu-pemandu lori yang memasang pelekat ajaib itu bukan sahaja ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang tetapi turut memperoleh maklumat mengenai operasi jalan raya yang dilakukan oleh penguat kuasa.
“Ada pemandu-pemandu lori yang tidak memakai pelekat ajaib itu dipulaukan, jadi mereka tidak akan mendapat maklumat mengenai di mana sekatan jalan raya dilakukan oleh penguat kuasa seperti mana diperoleh pemandu-pemandu yang memakai pelekat tersebut.
“Perkara ini memang khas dinikmati oleh pemandu-pemandu lori yang memakai pelekat khas berkenaan, pelbagai maklumat mengenai operasi penguat kuasa akan diperolehi daripada pelbagai medium seperti WhatsApp dan Telegram,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini mendedahkan kegiatan sindiket penjualan pelekat khas yang diguna pakai kebanyakan pemilik atau pemandu kenderaan berat bertujuan ‘melindungi’ mereka ketika melepasi pemeriksaan atau sekatan jalan raya pihak berkuasa.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat beberapa pemandu lori memperoleh pelekat khas itu daripada sindiket bagi mengelak dikenakan kompaun atau tindakan saman.
Pengusaha-pengusaha lori itu terlebih dahulu akan membeli pelekat khas yang memaparkan kod dan bentuk tertentu daripada sindiket dengan harga serendah RM1,000 untuk setiap lori dan kemudian ditampal pada bahagian depan atau belakang kenderaan untuk mudah dikenali.
Hairi berkata, Kementerian Pengangkutan (MoT) perlu memanggil semua pemegang taruh dan penguat kuasa untuk menamatkan sindiket tersebut secara tuntas dan mengelakkan ia daripada terus berleluasa.
“MoT dan semua jabatan berkaitan perlu duduk semeja untuk menyelesaikan isu pelekat khas ini. Kita tidak boleh hanya panggil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja sebab ia melibatkan banyak pihak.
“Pihak penguat kuasa boleh melakukan pemantauan dari kilang, hutan dan seumpamanya, iaitu sebelum lori berkenaan berjalan ke jalan raya. Dari situ kita boleh pantau sama ada terdapat kesalahan seperti lebih muatan,” katanya. – UTUSAN