Pengurusan sekolah diminta tidak rahsiakan kes buli - Fadhlina

Pengurusan sekolah diminta tidak rahsiakan kes buli – Fadhlina

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pengurusan sekolah dalam kalangan pengetua, guru besar dan guru-guru pentadbir diberi amaran supaya tidak merahsiakan sebarang kejadian atau kes buli membabitkan pelajar di sekolah.

Itu amaran keras dikeluarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan insiden buli ‘ala komando’ dilaporkan sebuah akhbar yang dipercayai dikesan berlaku di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihaknya juga mengesahkan telah menerima laporan mengenai perkara itu dan ia dalam proses siasatan untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah terima (laporan) maknanya kes itu dalam proses siasatan di peringkat KPM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar Pengoperasian Peperiksaan SPM Tahun 2024 di sini, hari ini.

Beliau pada masa sama ingin menegaskan semula bahawa tiada kompromi dalam soal buli dan semua prosedur pengendalian kes perlu diselesaikan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Fadhlina berkata, setiap kes buli perlu ada tindakan susulan, malah aduan juga boleh dibuat terus melalui Portal Aduan Buli (https://www.moe.gov.my/aduanbuli) secara dalam talian, emel, panggilan telefon atau WhatsApp ke nombor 014-8009325.

Ditanya mengenai aduan kononnya ada pengetua mempersoal aduan buli dibuat ibu bapa, Fadhlina berkata, ibu bapa mempunyai hak untuk mengemukakan sebarang aduan jika merasakan mereka tidak mendapat keadilan sepatutnya.

“Ibu bapa berhak untuk melanjutkan aduan tersebut ke peringkat yang lebih tinggi termasuk pihak autoriti dan pihak KPM,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan wujudnya tindakan buli ‘ala komando’ oleh pelajar senior kepada pelajar junior di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu kota.

Pendedahan itu dibuat selepas bapa kepada seorang mangsa buli mendakwa, pengetua mempersoalkan tindakannya untuk membuat surat aduan berhubung tindakan buli tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya