JOHOR BAHRU: Pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM50,000 bagi membantu sebuah syarikat pembinaan mendapatkan projek pembinaan lebuh raya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Zairulnizam Rohani, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima suapan rasuah bernilai RM50,000 masing-masing menerusi tiga pemindahan atas talian ke dalam akaun milik isterinya.
Ia sebagai upah buat lelaki itu yang juga pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya membantu sebuah syarikat pembinaan, mendapatkan kerja membina dan menyiapkan projek lebuh raya.
Perbuatan itu didakwa itu dilakukan di sebuah cawangan bank tempatan di Taman Universiti, di sini, pada 7, 12 dan 13 Disember 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Salleh Tugimin.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM dan menetapkan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Februari depan, bagi penyerahan dokumen.
Pada 21 Januari lalu akhbar melaporkan, dua individu termasuk Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat, susulan kes rasuah membabitkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata COO syarikat konsesi itu dijangka didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009 manakala seorang lagi individu yang didakwa ialah pengurus projek sebuah syarikat swasta yang dijangka didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut seksyen sama.
Kes berkenaan berhubung dengan Op Lintas membabitkan unsur rasuah Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang bernilai RM1.05 bilion dan Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam bernilai RM4.8 bilion.
Sebelum ini, media melaporkan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang. – UTUSAN