KUALA LUMPUR: Seorang pengumpul besi buruk didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh landasan Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.
Majistret Aina Azahra Ariffin membuat keputusan itu selepas Wong Han Chuan, 42, membuat pengakuan itu selepas pertududuhan dibacakan. Sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama tiga minggu.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu telah menceroboh landasan LRT Chan Sow Lin dengan melompat masuk landasan LRT tanpa kebenaran ada pukul 3.35 petang, 19 Januari lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 62 Akta Keretapi 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksima RM500 dan boleh dikeluarkan dengan serta-merta daripada kereta api atau premis kereta api.
Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan hukuman yang setimpal dikenakan terhadap Han Chuan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Bagaimanapun, peguam bela Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu denda yang minima atas alasan anak guamnya tidak mempunyai kerja.
“Saya difahamkan, anak guam saya tidak mempunyai pendapatan yang tetap kerana hanya bekerja menjual barang terpakai untuk dikitar semula dan datang daripada keluarga miskin. Tiada barang kerosakan yang terdapat di kawasan LRT tersebut.
“Saya memohon atas budi bicara mahkamah untuk memberikan hukuman yang minima sebanyak RM250 sahaja,” kata Simret. – UTUSAN