Penghantar barang didenda RM1,800 miliki dua senapang tiruan

Penghantar barang didenda RM1,800 miliki dua senapang tiruan

MOHD, Nasir Othman (depan, tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Akibat membeli dua laras senapang tiruan di aplikasi TikTok, seorang penghantar barang dan makanan didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd. Nasir Othman, 47, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki senapang tiruan selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki masing-masing satu senapang tertera tulisan Combact Machine Cal. 7-8mm Water Bullet Gun dan satu senapang tertera tulisan Property of U.S. Govt. M4A1 Carbine Cal. 5.56mm M010805 tanpa lesen yang sah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 6 Januari lalu, kira-kira pukul 9 pagi di No. 26, Jalan Lintang Bayan 6 Sungai Ara, Bayan Lepas.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushini memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh atas kesalahan berkenaan.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edmund Anthony Hermon yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar hukuman ringan diberikan kepada tertuduh memandangkan dia tidak mengetahui bahawa perbuatan membeli senapang itu di TikTok adalah satu kesalahan.

“Anak guam saya berpendapatan RM1,200 sebulan, mempunyai dua orang isteri dan enam anak. Dia memohon maaf dan tidak mengetahui bahawa membeli senapang’ water gel-based’ di TikTok itu adalah satu kesalahan,” katanya.

Ketika ditanya mengapa dia membeli senapang itu pula, tertuduh memberitahu, dia membeli senapang itu untuk bermain dengan anaknya yang berusia 11 tahun.

Huey Ting dalam penghakimannya kemudian menasihatkan tertuduh agar membeli permainan melalui cara yang betul selain tidak membeli alat permainan yang berbahaya di TikTok.

“Permainan ini jika ada tekanan yang tinggi, ia boleh menyebabkan kecederaan,” katanya yang menetapkan agar tertuduh didenda sebanyak RM1,800 dan jika gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara selama sebulan manakala barang kes pula akan dilupuskan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang lelaki dan isteri keduanya ditahan bersama 600 bungkusan air ketum yang siap diproses di kediaman mereka di Bayan Lepas, Isnin lalu.

Selain barang terlarang itu, polis turut merampas 71 senjata berbahaya antaranya, pedang samurai, keris dan kerambit di kediaman jenis teres itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya