Pengendali umrah perlu telus, jangan ambil kesempatan - Na’im Mokhtar

Pengendali umrah perlu telus, jangan ambil kesempatan – Na’im Mokhtar

MOHD. NA'IM Mokhtar menyampaikan anugerah pelajar cemerlang kepada Dr. Wan Ahmad Fawwas Wan Fuad pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat yang mengendalikan umrah perlu bertanggungjawab dalam pelaksanaan pakej bagi mengelakkan pengkhianatan berlaku kepada jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, agensi berkaitan tidak boleh mengambil kesempatan ke atas kepercayaan yang diberikan pengguna untuk kepentingan sendiri.

“Jadi kita kena pegang amanah tersebut. Jangan ada terlintas niat di hati untuk mengambil wang daripada mereka yang ingin mengerjakan umrah untuk kepentingan diri.

“Ini merupakan satu perbuatan zalim yang kita tidak boleh terima. Orang hendak buat umrah, melakukan ibadah tetapi telah dikhianati oleh mereka ini,” katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-15 UCMI di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Tambah beliau, orang ramai khususnya bagi yang berminat mengerjakan ibadah umrah dinasihatkan jangan mudah terpengaruh dengan pakej yang ditawarkan pada harga murah.

Katanya, semakan perlu dilakukan sebagai pengesahan agar agensi yang dihubungi adalah diyakini.

“Bagi yang memang berminat untuk menunaikan umrah, berhati-hatilah. Saya sudah kerap kali sebut, pastikan dan semak dahulu. Tengok sama ada agensi tersebut berdaftar ataupun tidak.

“Jangan terpengaruh dengan tawaran yang terlalu murah. Kadang-kadang tidak nampak munasabah dengan harga RM2,000 ke RM3,000. Tapi kita masih terpengaruh dengan tawaran-tawaran sebegitu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im juga berharap tindakan setimpal diberikan kepada syarikat pelancongan terlibat yang kini sedang dalam siasatan.

“Mana yang kita sedia maklum, laporan polis banyak telah dibuat oleh pihak jemaah tersebut dan saya harap semua kita bertenang dan serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan.

“Saya harap tindakan keras diambil kepada agensi yang tidak bertanggungjawab supaya ini menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya