KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas 137 bungkusan plastik hitam dipercayai mengandungi daun ketum menerusi dua pemeriksaan berasingan sekitar perairan Sungai Padang, Simpang Empat, di sini, Jumaat lalu.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, menerusi rondaan sekitar pukul 10.10 malam itu, sepasukan anggota kastam cawangan penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis telah mengejar dua buah bot fiber yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, kedua-dua bot berkenaan dikenal pasti tidak mempunyai nombor pendaftaran dan sedang bergerak laju menuju ke perairan Thailand.
“Sewaktu pasukan menghampiri dua bot tersebut dan mengarahkan mereka untuk berhenti, pengemudi telah bertindak memecut laju ke kawasan air cetek. Selepas itu, kelihatan dua lelaki yang memandu bot fiber itu terjun ke dalam air dan berenang ke daratan bagi melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Ismail berkata, pemeriksaan pada bot pertama membawa kepada penemuan 82 bungkusan plastik hitam manakala 55 bungkusan plastik hitam ditemukan di bot kedua yang mana masing-masing mengandungi daun hijau disyaki ketum.
Katanya, jumlah berat keseluruhan daun ketum yang dirampas dari dua bot itu dianggarkan seberat 1,370 kilogram dengan nilai RM54,800.
“Hasil semakan kita juga mendapati harga daun ketum di pasaran pada ketika ini adalah sekitar RM40 bagi sekilogram,” katanya.
Ismail berkata, modus operandi yang digunakan sindiket terlibat adalah dengan membawa bungkusan berisi daun ketum menggunakan sampan atau bot untuk dieksport ke Thailand.
Katanya, JKDM juga sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau keduanya,” katanya.-UTUSAN