KUALA PILAH: Seorang anggota Rela dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas tiga pertuduhan sumbang mahram dengan anak tirinya dalam kejadian di Tampin, sejak tahun 2019.
Lelaki berusia 40-an itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah serta memohon untuk dibicarakan sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan sumbang mahram tersebut sejak pertengahan tahun 2019 yang ketika itu anak tirinya berusia 16 tahun sehingga pada 6 Disember tahun lalu.
Perbuatan berkenaan dilakukan di ruang tamu sebuah rumah di taman perumahan di Tampin manakala kejadian terbaharu pada Disember lalu di sebuah bilik sewa berhampiran perhentian bas Tampin kira-kira pukul 1 petang.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi laporan penuh perubatan dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
“Kes ini melibatkan anak tiri dan mereka (tertuduh dan anak tiri) tinggal di tempat yang sama. Isteri iaitu ibu kandung (anak tiri) juga berada di alamat yang sama, sekiranya diberikan jaminan, saksi-saksi akan diganggu,” katanya.
Hakim kemudiannya menetapkan tiada jaminan dibenarkan dan kes disebut semula pada 12 Februari ini.
Sementara itu di Mahkamah Majistret Rembau, teman lelaki mangsa yang berusia 20-an pula didenda sebanyak RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki video lucah mereka bersama serta pengawal keselamatan tersebut.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret, Kartini Kasran yang turut menetapkan hukuman enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memiliki dua video lucah dirinya dan seorang lelaki berusia 40-an (bapa tiri teman wanita) dan seorang wanita berusia 20-an (teman wanita) serta satu video lucah bersama wanita yang sama dalam telefon bimbit tertuduh.
Kesalahan itu kira-kira 1.30 petang, 30 Disember tahun lalu di Pejabat Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin. Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang jika disabitkan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.-UTUSAN