PETALING JAYA: Penyanyi, Mamat Exist mendedahkan dirinya sudah terjebak dengan dadah sejak dia berusia 16 tahun sehingga ditempatkan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).
Menurut Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 48, Pengasih merupakan jalan terbaik buatnya untuk kembali bersihkan diri daripada bahan terlarang itu selain mendapag layanan yang baik.
“Apabila saya sampai di Pengasih, sambutan dan layanan yang diberikan kepada saya sangat baik sekali gus membuatkan kita semua hormat satu sama lain dan sentiasa ada sebagai satu keluarga.
“Disebabkan itu juga membuatkan saya bertambah bersemangat mahu berubah selain enggan lagi berputus asa,” katanya.
Mamat berkongsi perkara itu menerusi sebuah sesi audio siar, Dol’s Podcast yang dikendalikan oleh Shuib, Mamat Sepah dan Fizie Roslan.
Tambah penyanyi lagu Untukmu Ibu itu, Pengasih turut menekankan aspek sahsiah diri serta kerohanian sepanjang enam bulan dia berada dalam pengawasan pusat jagaan tersebut.
Malah, bekas vokalis kumpulan Exists itu juga diberi tanggungjawab sebagai penyelaras aktiviti untuk memaklumkan jadual harian penghuni pusat jaagaan tersebut bermula seawal subuh.
“Setiap hari kami akan bangun sebelum waktu subuh untuk mandi sebelum mendirikan solat subuh berjemaah.
“Di sana saya merupakan salah seorang koordinator dan akan menguruskan setiap aktiviti yang akan dilakukan penghuni lain.
“Antara aktiviti yang kami jalankan ialah solat lima waktu berjemaah selain menghadiri kelas mengaji al-Quran,” jelasnya.
Pada 8 Julai 2024, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan dua tahun menjalani rawatan pemulihan di bawah pengawasan AADK Bentong terhadap Mamat atau nama penuhnya, Mohd Ali Kamarudin, 47, yang berdepan dengan dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019.