Pengarah syarikat didakwa salah guna logo halal

Pengarah syarikat didakwa salah guna logo halal

EWE Sern Yeun (berpelitup muka) didakwa atas penemuan produk yang diragui status halal, tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah sebuah syarikat pembekal pastri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi tuduhan guna logo halal bagi produk makanan yang tidak sepatutnya termasuk sandwich ham, dua minggu lalu.

Pengarah Syarikat Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd., Ewe Sern Yeun, 65, turut didakwa di Mahkamah Sesyen berlainan bagi pertuduhan menggunakan logo halal dan cap dagang berdaftar pada 366 unit sandwich tanpa kelulusan.

Sern Yeun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya dan syarikat itu di hadapan Hakim Dr. Sharliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd. Nor.

Mengikut pertuduhan, Sern Yeun dan syarikatnya didakwa menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo Halal Malaysia bagi produk yang salah membabitkan 366 unit sandwich.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.50 tengah hari, 10 Januari lalu di Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd., No. 20, Jalan PJJ 347, Sunway Damansara di sini.

Oleh demikian, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(ii) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang dipakaikan de­ngan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syarikatnya pula didakwa di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, jika sabit kesalahan.

Pada masa, tarikh dan tempat sama, Sern Yeun dan syarikatnya juga didakwa menggunakan logo halal dan cap dagang berdaftar pada 366 unit sandwich tanpa kelulusan.

Sern Yeun dan syarikatnya didakwa menawarkan untuk membekalkan 366 unit produk makanan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk me­nunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam.

Ia bertentangan dengan Pe­renggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Pe­nandaan Halal) 2011.

Lelaki itu didakwa di bawah Perenggan 8(b) Perintah sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(B) Perintah sa­ma yang memperuntukkan huku­man denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syarikat itu pula didakwa mengikut Perenggan 8(A) Pe­rintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 manakala kesalahan kedua atau berikutnya, boleh dikenakan denda maksimum RM500,000, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Dalam Ne­geri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi menawarkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira ia membabitkan kes berkepentingan awam.

Bagaimanapun Dr. Shahliza dan Noor Ruzilawati membenarkan jaminan sebanyak RM130,000 dikenakan terhadap Sern Yeun dengan tiga orang penjamin warganegara tempatan beserta syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan sebelum menetapkan 5 Mac hadapan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya