TAIPING: Seorang pengarah syarikat pinjaman wang berlesen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM551,130, sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Datuk Lee Hyep Sip @ Simon, 52, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan pertama hingga lima, tertuduh didakwa sebagai pengarah Syarikat Pasti Tunai Jaya Sdn. Bhd. yang diamanahkan dengan penguasaan harta didapati dengan curangnya telah memasukkan wang melalui cek syarikat dalam amaun berbeza iaitu RM168,220, RM168,420, RM49,240, RM72,180 dan RM93,070.
Wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya serta dua akaun bank syarikat lain dan seorang lagi individu.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Maybank Cawangan Kamunting dalam Daerah Larut, Matang dan Selama pada 12 November 2020, 7 Mac dan 26 Ogos 2022, 27 September 2023 dan 24 September 2024.
Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding tersebut, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan pilihan bagi perbuatan sama di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat, dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam bela, P. Jeyakumar dan Rodzim Zaimy Abdul Hamid.
Terdahulu, Muhammad Fahmi mencadangkan tertuduh dibenar ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 17 Februari depan untuk tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN