Penganggur mengaku miliki senjata palsu, tembak kediaman jiran

Penganggur mengaku miliki senjata palsu, tembak kediaman jiran

SENAPANG slingshot dimiliki Tan Chee Kiong yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Padah memiliki senjata tiruan dan tertembak rumah jiran, seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dan memiliki senjata itu, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Chee Kiong, 49, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melepaskan tembakan dari senjata jenis senapang slingshot bersama ball bearing miliknya hingga menyebabkan kerosakan ke atas cermin rumah pengadu yang kerugian sebanyak RM3,000. 

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 28 Disember lalu kira-kira pukul 4.30 petang di Taman Banggol Indah, Kampung Paya Berenjut, dekat sini. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dengan menggunakan senjata dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara hingga maksimum lima tahun atau dengan denda. 

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki selaras senapang slingshot dan satu bekas plastik mengandungi 79 biji ball bearing yang berada di atas meja dalam bilik rumahnya  pada 29 Disember lalu,  kira-kira pukul 6.45 petang. 

Kesalahan itu dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau dikenakan denda hingga maksima RM5,000. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh didenda sebanyak RM3,000 bagi pertuduhan pertama dan RM2,500 bagi pertuduhan kedua. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya