Penganggur dituduh miliki motor bukan kepunyaan

Penganggur dituduh miliki motor bukan kepunyaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sebuah motosikal bukan kepunyaannya, bulan lalu.

Mohd. Yaseer Yazid, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Yaseer didapati memiliki sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna merah kehitaman di mana nombor casis dan nombor enjin kenderaan tersebut telah dikikis.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 malam, 29 Disember lalu, di Taman Kobena, Cheras di sini.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) , Mai Elizabeth yang mewakili tertuduh memohon pengurangan jumlah wang jamin atas alasan anak guamnya masih menganggur.

“Mohd. Yaseer tidak berkerja buat masa kini dan dia juga perlu menanggung tiga orang anak yang berada di bawah jagaan bekas isterinya. Dimohon agar mahkamah dapat mempertimbangkan jaminan paling minimum dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin warganegara tempatan dan menetapkan 6 Februari hadapan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya