KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM1,500 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri deodoran di sebuah kedai serbaneka, dua hari lalu.
Masjitret Aina Azahra Ariffin membuat keputusan itu setelah tertuduh, Emmanuel Jeniffer Velu Velayutham, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara selama dua bulan.
Mengikut pertuduhan, Emmanuel Jeniffer didapati telah mencuri 13 botol deodoran jenama Nivea berjumlah RM162.50 pada pukul 9.35 malam, 1 Januari lalu di 99 Speedmart, di Taman Batu, Jalan Jambu di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam bela, Muraliraj yang mewakili lelaki itu memohon hukuman minimum dikenakan terhadap anak guamnya kerana telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Buat masa kini tertuduh tidak mempunyai pekerjaan. Pengakuan salahnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah dan dia juga telah memberikan kerjasama yang baik. Dimohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara paling minimum,” katanya. – UTUSAN