PETALING JAYA: Pengalaman unik dialami Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj harus dibugar bagi memupuk semangat bekerja lebih kuat dan berdisiplin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia penting bagi mencapai ‘itqan fil amal’ (bersungguh-sungguh dan tekun dalam setiap pekerjaan) serta teguh kepada pengabdian penuh kepada Allah SWT.
Selain itu katanya, ibrah daripada peristiwa besar ini juga menyentuh konteks sejarah umat Islam khususnya peranan dua kota suci Makkah dan Baitulmaqdis.
“Sehubungan itu, ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus menjadi sebahagian sikap konsisten kita dalam memperjuangkan maruah dan keadilan untuk rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan yang muat naik di Facebook hari ini.
Anwar berkata keistimewaan dianugerahkan kepada Rasulullah SAW melalui perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan spiritual yang hadir bersama amanah solat, punya dampak besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat.
“Simbol kepimpinan Baginda Rasulullah SAW mengetuai solat dalam kalangan para Rasul yang lain jua menggambarkan kepentingan umat Islam yang dipayungi oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Peristiwa Israk dan Mikraj adalah mukjizat agung yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
Antara peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj adalah perintah kewajipan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas orang Islam.-UTUSAN