Penempatan haram Bukit Malut kebal, tiada pihak berani usik?

Penempatan haram Bukit Malut kebal, tiada pihak berani usik?

PEMBINAAN rumah haram di Bukit Malut berleluasa sehingga merebak ke dalam laut di kawasan itu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Suasana penempatan Bukit Malut di sini yang sebahagiannya dihuni penduduk berstatus Melayu Islam Kedah (MIK) masih sama sehingga ke hari ini. Tiada pembangunan semula, kediaman sedia ada terlalu rapat dan isu kebersihan yang terus membelenggu kawasan itu.

Cuma perubahan ketara yang dapat dilihat di Bukit Malut apabila tidak ada lagi pihak yang berani untuk membuat binaan baharu selepas mereka menyaksikan sendiri operasi perobohan bangunan yang dilaksanakan Permodalan Kedah Berhad (PKB), pada Jun 2022.

Ketika itu, sebanyak 41 notis pengusiran dikeluarkan oleh PKB selaku pemilik tanah yang berkeluasan 16.19 hektar. Namun, daripada jumlah itu hanya 12 buah rumah atau binaan yang tidak berpenghuni dan masih dalam pembinaan dirobohkan.

Operasi meroboh itu seolah memberi dimensi baharu kepada penduduk asal Pulau Langkawi yang mahu melihat penempatan dilabel ‘kawasan gelap’ itu lebih bercahaya, kemas dan paling penting selamat.

Namun, selepas hampir tiga tahun kerja-kerja meroboh dilaksanakan PKB, masih tiada sebarang kemajuan di kawasan itu yang seakan-akan ‘melepaskan betuk di tangga’ tanpa tindakan susulan.

Setakat hari ini, tidak pernah dikeluarkan sebarang kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak atau agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dicanang paling berkuasa berbanding mana-mana jabatan bagi kawasan itu.

Hanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor membangkitkan tentang program penempatan semula perumahan Bukit Malut dalam Mesyuarat Khas Pembangunan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Alor Setar pada 4 Mei 2024.

Tetapi tetap tiada apa-apa perkembangan positif yang dikongsikan pihak kerajaan tentang rancangan itu sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk tempatan iaitu sejauh mana kebalnya Bukit Malut yang berpuluh tahun tidak ada satu pihak berani usik.

Mereka menyifatkan setiap kali kerajaan bertukar, agenda menyusun semula penempatan di situ yang dibincangkan tidak ke mana kerana keadaannya tetap status quo atau kekal seperti sedia kala.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang ditanya Utusan Malaysia mengenai perkembangan mutakhir berkaitan isu di Bukit Malut berkata, perkara itu sedang diuruskan oleh MKN.

Beliau selaku Pengerusi PKB turut menggesa MKN bertindak pantas dalam melakukan perkara-perkara berkaitan kerana walaupun tanah berada di bawah bidang kuasa negeri tetapi sebarang langkah yang mahu diambil memerlukan kata putus MKN.

“MKN sedang menguruskan hal itu, kerajaan negeri sudah bersetuju dengan agensi tersebut bagi membuat pengambilan tanah tetapi rumah yang bakal dibina, penduduk di situ perlu beli untuk mendiaminya.

“Proses itu memang akan mengambil masa lama untuk urusan pengambilan dan pembinaan rumah tetapi kita harap MKN dapat bertindak lebih pantas, perbincangan memang sudah ada cuma kena percepatkan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pembangunan semula kawasan itu diharap dapat menghentikan sebarang polemik yang wujud selain tidak mahu lagi pembinaan rumah haram di Bukit Malut berleluasa sehingga merebak ke dalam laut di kawasan itu.

 

Bukit Malut dihuni pelarian etnik Rohingya

Penyelesaian terhadap penempatan haram di Bukit Malut menjadi semakin kompleks apabila kawasan itu bukan sahaja didiami oleh penduduk berstatus MIK tetapi pelarian etnik Rohingya.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Dr. Ibrahim Bakar mendakwa, berlaku perkahwinan campur antara kedua-dua golongan itu yang menyebabkan kawasan Bukit Malut semakin meluas berbanding mula-mula golongan MIK masuk ke situ dahulu.

“Perkara ini kena bertindak sebab kita sudah beri komitmen untuk terima mereka (MIK) sebagai sebahagian daripada masyarakat kita. Cuma isu di kawasan itu ada sikit percampuran antara MIK dan bukan MIK iaitu Rohingya yang berada di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Jadi dalam masa sama berlaku percampuran antara kedua-dua pihak itu merangkumi pelbagai sudut dan budaya sehingga ada yang berkahwin antara satu sama lain menjadikan isu berkaitan semakin kompleks.

“Seperkara lagi tempat di situ agak terhad, kalau nak buat penempatan baharu kena rancang. Perlu ada tindakan daripada pihak atasan, bukannya kita di bawah ini tetapi kalau ahli-ahli politik sekadar nak bercakap kata nak bantu tapi tidak sebenarnya tidak akan ke mana,” katanya.

Katanya, mengikut rekod Bukit Malut pada awalnya adalah kawasan hutan sebelum kerajaan memindahkan nelayan yang terdiri daripada pekerja pukat bilis ke kawasan tersebut kerana terdapat sebuah teluk di kawasan tersebut.

“Penduduk di situ adalah komuniti asal orang Melayu Kedah yang datang dari Myanmar pada tahun 1982. Suatu ketika dahulu, daerah mereka berada di bawah pemerintahan Kesultanan Kedah.
“Langkawi adalah tempat paling hampir untuk mereka berulang-alik sejak dahulu lagi dan kumpulan pertama ini telah datang untuk mencari perlindungan dan tinggal di Bukit Malut. Mereka memang boleh bercakap bahasa Melayu loghat Kedah,” katanya.

Tambahnya, disebabkan kumpulan pertama itu adalah keturunan rakyat Kesultanan Kedah, mereka diberikan status khas dikenali MIK yang sebenarnya status itu kurang digemari golongan itu kerana mereka seolah-olah berbeza dengan orang tempatan Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya